fbpx
Salmi Mustafa (kiri) bersama adik iparnya, Md. Selan Sarip menunjukkan gambar kenangan Siti Nur Syahira dan Nur Syaza Nadihra (dalam bulatan) bersama sepupu lain ketika ditemui di Kampung Chohong, Jasin, Melaka.

“Umi, kakak keluar kejap”

  • Oleh KOSMO!
  • 1 Ogos 2020, 7:55 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD

JASIN – Ibu kepada Siti Nur Syahira Yazid yang merupakan salah seorang mangsa kemalangan maut di Kilometer 5 Jalan Sialang, Tangkak, Johor, terkilan kerana tidak sempat memesan kepada anaknya agar berhati-hati menunggang motosikal.

Salmi Mustafa, 52, berkata, anaknya keluar bersama anak saudaranya, Nur Syaza Nadihra Md. Selan yang turut terkorban dalam nahas itu untuk membeli barangan keperluan mereka di Bandar Tangkak sebelum terlibat dalam kejadian terbabit.

Ujarnya, dia ketika itu sedang sibuk menyiapkan juadah di dapur untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dengan ahli keluarga lain dan hanya mendengar anaknya memberitahu hendak keluar sekejap beberapa minit sebelum kejadian itu.

“Saya hanya dengar dia kata ‘Umi, kakak nak keluar kejap’ sebelum menaiki motosikal peninggalan arwah ayahnya. Saya terkilan kerana tak sempat nak pesan hati-hati kerana itulah pesanan yang selalu saya beritahunya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6.24 petang di Kilometer 5 Jalan Sialang, Tangkak, Johor, Khamis lalu, penunggang, Siti Nur Syahira, 19, dan sepupunya, Nur Syaza Nadihra, 22, meninggal dunia di lokasi selepas tercampak kira-kira tiga meter.

Nahas yang hanya kira-kira satu kilometer dari rumah mereka yang berdekatan sempadan Melaka dan Johor itu dipercayai berlaku akibat dirempuh kereta disyaki dipandu lelaki mabuk.

Sementara itu, tambah Salmi, kedua-dua mereka diibaratkan seperti ‘kembar siam’ berikutan hubungan erat sesama mereka sejak kecil dan sering menghabiskan masa bersama sekiranya pulang bercuti.

Malah, Siti Nur Syahira yang juga pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bendahara dan Nur Syaza Nadihra, pelajar tahun akhir Politeknik Merlimau juga ada merancang untuk bersama-sama membuka perniagaan suatu hari nanti setelah kedua-dua mereka tamat belajar.

“Anak saya memang seorang yang periang dan peramah, apabila dia sudah tiada saya rasa amat sunyi, apatah lagi dia anak sulung dan harapan untuk dua adiknya selepas mereka kematian bapa,” ujarnya.

Sementara itu, bapa Nur Syaza Nadihra, Md. Selan Sarip, 55, mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap pemandu kereta terbabit walaupun mereka sekeluarga reda dengan kejadian tersebut.

“Memang anak-anak kami tak akan kembali lagi tetapi sekurang-kurangnya kenakan hukuman sewajarnya, saya pun tak mahu ingatkan lagi kejadian itu kerana terlampau sedih tetapi saya serahkan kepada pihak polis untuk proses selanjutnya,” katanya.

Katanya, Nur Syaza Nadihra yang sepatutnya menamatkan pengajian dalam semester akhir pernah memberitahu untuk menyambung ke peringkat ijazah sarjana muda, namun hasrat itu tidak kesampaian akibat kejadian tersebut. – K! ONLINE.