fbpx

Rezeki terpijak penjual pelitup muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengusaha restoran, Mohd.Shahrin Mohd.Tamin (kiri) menjual pelitup muka kepada seorang pelanggan restoran.

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

KLANG – Para peniaga pelitup muka mendapat rezeki terpijak susulan pemakaiannya diwajibkan di seluruh negara bermula hari ini bagi mengekang pandemik Covid-19.

Seorang pemilik Restoran Makan-Makan, Mohd. Shahrin Mohd.Tamin, 42 berkata, dia mengambil pendekatan dengan menjual pelitup muka bagi mereka yang singgah di restorannya.

Katanya, tindakan itu bagi memudahkan pengguna yang kadang-kadang tercari pelitup muka selepas arahan dikeluarkan kerajaan.

“Ini serampang dua mata selain menjamu selera di sini mereka boleh terus membeli pelitup muka. Jadi, menjimatkan masa mereka tanpa perlu pergi premis lain.

“Harga jualan juga mengikut apa yang ditetapkan kerajaan ketika ini iaitu RM1.50 sekeping,” katanya ketika ditemui Kosmo! di restorannya di Taman Seri Andalas di sini hari ini.

Kata Mohd. Shahrin, setakat sehingga 12 tengah hari sebanyak tiga kotak atau 90 unit telah berjaya dijual olehnya.

Sementara itu, seorang peniaga dalam talian, Zalifah Mustafa, 36, memberitahu tempahan pelitup muka yang dijahit sendiri khususnya untuk kanak-kanak didapati meningkat sebanyak 50 peratus daripada 40 keping yang kebiasaan dijualnya.

“Pelitup muka yang dihasilkan itu mempunyai dua lapisan iaitu kain dan mikrofiber yang selesa digunakan oleh kanak-kanak dengan dihiasi corak atau watak kartun,” jelasnya.

Dalam pada itu, Faizal Abd. Wahid yang turut senada memaklumkan menerima hampir 50 tempahan pelitup khas Kelab Peminat Anak Selangor (ASFC) setiap hari berbanding 20 keping sebelum ini selepas pemakluman kerajaan berhubung pemakaian wajib pelitup muka.

“Pelitup muka jahitan sendiri merupakan alternatif yang disukai oleh segelintir pihak dalam menjimatkan perbelanjaan harian mereka,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI