fbpx

Selfie Station sedia ruang menarik untuk swafoto

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Terdapat 14 ruang dengan kepelbagaian konsep boleh ditemukan di Selfie Station untuk dirakam bersama insan tersayang.

MATA Noor Hidayah Shaari, 34, bagaikan terpukau ketika melangkah masuk ke Selfie Station yang terletak di Semenyih, Selangor.

Tempat tersebut yang mempunyai ruangan atau booth bergambar dengan pelbagai konsep telah memberi peluang kepada pelanggan termasuk Noor Hidayah untuk merakam detik manis bersama keluarga tersayang.

“Saya mendapat tahu mengenai Selfie Station menerusi Instagram lalu mengajak keluarga ke situ pada Hari Raya Aidilfitri lalu memandangkan tidak tahu hendak ke mana kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebaik tiba di sana, saya sangat teruja kerana tempat itu amat cantik. Tambah menarik apabila ia tidak padat dengan orang ramai kerana setiap sesi sudah dikhaskan untuk setiap pelanggan mengikut masa yang ditetapkan,” cerita ibu kepada dua orang cahaya mata itu kepada Horizon baru-baru ini.

Pastinya Hari Raya Aidiladha ini juga, destinasi itu antara yang menarik untuk dikunjungi orang ramai.

 

Ruang yang dihiasi awan-awan comel turut diminati pengunjung.

 

Menurut pemilik Selfie Station, Noriah Johari, 34, idea dan konsep tempat itu dibangunkan bersama suami, Muhamad Khalil Abdull Jalil, 34, yang mengambil masa selama setahun untuk disiapkan.

“Sudah lama kami memasang hajat untuk membangunkan tempat sebegini bagi memberi peluang orang ramai merakam gambar kenangan mereka di dalam sebuah studio yang mengetengahkan pelbagai konsep menarik.

“Kami melihat di luar negara banyak tempat sebegini, lantas ia menguatkan lagi hasrat untuk membangunkannya,” kata Noriah kepada Horizon baru-baru ini.

Usaha membangunkan tempat sebegitu menjadi kenyataan apabila Noriah dan suami berpindah ke pejabat baharu bagi perniagaan dekorasi perkahwinan yang turut diusahakan mereka.

Melihat akan keluasan pejabat tersebut telah memberi peluang kepada Noriah dan Muhamad Khalil untuk merealisasikan impian mereka membina stesen swafoto itu yang mula dibuka sejak 1 Syawal lalu.

Jelas Noriah, Selfie Station menyediakan 14 buah booth atau konsep ruang dengan garapan idea daripada dirinya dan suami. Antara booth tersebut ialah 3D room, sky room, green room dan garden room.

 

Pengunjung boleh merakam sendiri gambar menggunakan telefon bimbit atau mendapatkan khidmat jurugambar yang disediakan oleh Selfie Station.

 

Sebagai contoh, sky room mempunyai awan-awan yang comel dan memikat hati, manakala garden room pula membawa pengunjung seolah-olah berada di sebuah taman dengan prop-prop menarik seperti basikal serta bunga-bungaan.

“Ramai yang datang ke sini untuk merakam potret keluarga, gambar hari lahir dan perkahwinan. Kami menyediakan dua pilihan iaitu pakej khidmat jurugambar atau pengguna merakam sendiri gambar dengan telefon bimbit atau kamera sendiri,” ujar pemegang Diploma Pengurusan Hotel, Universiti Teknologi Mara, Pulau Pinang itu.

Tambah Noriah, bagi pakej jurugambar, harga yang dikenakan ialah RM69 meliputi rakaman gambar selama 30 minit oleh jurugambar dan perkhidmatan suntingan gambar.

Bagi rakaman gambar sendiri pula, pelanggan dikenakan RM5 sejam.

Sementara itu, Muhamad Khalil menasihati pengunjung yang hendak datang ke situ supaya membuat tempahan sehari lebih awal.

“Ini bagi mengelakkan tempat ini terlalu sesak dan memastikan kita dapat mematuhi penjarakan sosial,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI