fbpx
LEE CHONG WEI

Tanda aras Chong Wei terlalu tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MUHAMMAD HELMEE RAMLI

 

KETIKA berada di kemuncak, kemampuan legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei apabila melangkah masuk ke gelanggang sememangnya tidak dapat dipertikaikan dan sukar digugat oleh mana-mana pemain.

Tidak kira dalam apa kejohanan sekalipun, kehadirannya sentiasa ditagih dan diharapkan oleh jutaan rakyat Malaysia.

Meskipun menggantung raket tanpa kejuaraan dunia serta pi­ngat emas Sukan Olimpik, namun nama Chong Wei sudah tersemadi sebagai salah seorang pemain terulung negara.

Justeru, ramai yang menganggap ketiadaan pemain kelahiran Pulau Pinang itu bakal membuatkan arena badminton negara suram.

Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti untuk cuba mencari pengganti Chong Wei memandangkan beliau sukar dicari ganti, sebaliknya berusaha melahirkan lebih ramai jaguh baharu.

Selain itu, tabiat suka melabelkan pemain muda sebagai pengganti Chong Wei juga harus dihentikan kerana ia memberi tekanan dan mengganggu perkembangan mereka.

Pemain perseorangan No.1 negara ketika ini, Lee Zii Jia juga pernah menyuarakan isi hatinya supaya dia tidak dibandingkan dengan pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan percaya tidak mudah untuk mencari pemain yang memiliki ke­upayaan seperti Chong Wei, Taufik Hidayat dan Lin Dan.

“Di sini kita ada Chong Wei, Indonesia menerusi Taufik sementara China memiliki Lin Dan. Bukan mudah untuk mencari pengganti untuk tiga pemain ini kerana mereka sangat unik.

“Buat masa sekarang, saya setuju ini bukan masa untuk kita terus menerus mencari pengganti Chong Wei, sebaliknya kita cuba hasilkan pemain-pemain yang mampu mencabar kejua­raan,” tegas Hendrawan.

Berdasarkan prestasi semasa, Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia ketika ini memiliki kualiti terbaik untuk dilatih serta digilap bakatnya.

Pemain berusia 22 tahun itu mula mencuri perhatian apabila dia mengejutkan juara Olimpik 2016 dari China, Chen Long untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Seluruh England (All England) Mac lalu.

Selain Zii Jia, Cheam June Wei serta juara Kejohanan Remaja Asia 2017, Leong Jun Hao juga dilihat memiliki potensi menjadi antara pemain terbaik dunia.

Pada masa sama, bekas perseorangan No.1 dunia, Muhammad Roslin Hashim senada dengan Hendrawan agar lebih fokus menghasilkan juara baharu berbanding mencari pengganti Chong Wei.

Kata beliau, bakat seperti Chong Wei bukannya mudah untuk ditemui kerana memerlukan masa lama bagi mencari pemain yang sama dengan ‘Raja Siri Super’ itu.

“Saya setuju dengan pendapat untuk lahirkan juara baharu berban­ding mencari pengganti Chong Wei.

“Pemain akan memikul satu tekanan yang sangat tinggi apabila dilabelkan sebagai pengganti Chong Wei kerana penanda a­rasnya terlalu tinggi,” katanya.

Justeru, peminat badminton diseru agar bersabar dan memberi ruang kepada Persa­tuan Badminton Malaysia untuk menggilap bakat sedia ada.

Sekiranya pemain-pemain sedia ada tidak dibebani dengan jangkaan yang terlampau tinggi, sudah pasti mereka mampu berkembang dengan baik sekali gus menjadi pencabar pemain handalan dunia.

POPULAR