fbpx

Rai lebaran dengan inspirasi renda santili

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAMPIL sopan pada Aidiladha dengan gaya elegan daripada koleksi Dentelle.

SEMPENA Hari Raya Aidiladha ini, jenama fesyen Jovian kembali membawa buah tangan buat para pencinta fesyen dengan menampikan koleksi Dentelle yang diinspirasikan daripada renda chantilly (santili).

Gaya romantik, sopan dan elegan menjadi ciri utama koleksi feminin itu yang turut didatangkan dengan padanan tudung serta pelitup muka.

Menariknya, motif baju, tudung dan pelitup wajah itu direka sedondon bagi membolehkan si pemakai menggayakannya sebagai satu set pada hari lebaran ini.

Menurut pemilik jenama itu, Datuk Jovian Mandagie, koleksi Dentelle mempunyai nilai estetika yang tinggi dan ia dapat dilihat menerusi corak-corak yang diinspirasikan daripada renda santili.

“Koleksi Dentelle dihasilkan dengan sangat halus dan penuh kesenian apatah lagi proses pembuatannya serupa dengan couture.

“Walaupun corak rendanya penuh, tetapi ia tidak nampak terlalu berserabut sebaliknya memberikan gaya lebih anggun,” katanya ketika ditemui Stailo di JM Tower, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

KOLEKSI Dentelle membolehkan individu memakai pelitup wajah dan tudung yang sedondon.

Jelasnya, baju koleksi Dentelle itu boleh didapati dalam 13 gaya yang terdiri daripada kurung moden, dres, kebaya dan peplum.

Pada masa sama, Jovian turut menawarkan lapan tudung dan sembilan pelitup muka untuk koleksi Dentelle.

Tambah Jovian, dia menggunakan fabrik yang sangat selesa seperti satin untuk tudung, manakala neoprene bagi penghasilan pelitup muka.
Bagi pembuatan baju pula, dia memilih fabrik jenis sifon dan poly crepe.

Pelanggan boleh memilih variasi skirt seperti potongan lipat kipas hinggalah potongan ikonik puteri duyung untuk digayakan bersama baju-baju tersebut.

Koleksi Dentelle boleh didapati dalam warna-warna yang segar dan lembut seperti biru midnight, coklat rosy, kelabu piuter, burgundy, kelabu castle, nude linen, merah jambu lavender dan sunny lime yang memancarkan nilai eksklusif serta mengikut trend semasa.

Mengulas mengenai penghasilan koleksi tersebut, Jovian memberitahu, dia mengambil masa selama tiga bulan untuk menghasilkan baju, manakala sebulan diperuntukkan untuk membuat hijab dan dua minggu bagi topeng muka.

Pelanggan boleh membeli baju dan skirt secara berasingan untuk dipadankan mengikut cita rasa masing-masing atau acara yang bakal dihadiri.

Dentelle yang direka dengan saiz XS hingga 3XL itu sesuai dipakai oleh mereka yang berusia pertengahan 20 tahun sehingga awal 40-an.

Namun, Jovian memberitahu, koleksi itu tidak terlalu terikat dengan umur asalkan mereka menyukainya dan selesa memakai baju tersebut.

Harga bagi koleksi Dentelle bermula RM169 hingga RM259 untuk bahagian atas sahaja, manakala set lengkap dengan tudung dan topeng muka pula RM489. Koleksi boleh didapati di semua butik Jovian dan menerusi jualan online.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN