fbpx

Otai CS:GO dapat cef peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMONA bukan asing dalam arena e-Sukan kerana gadis berusia 31 tahun itu mula aktif bermain permainan video sejak berusia 14 tahun.

Kelab elit China sanggup sediakan tukang masak halal buat Ramona

PEMAIN wanita terkemuka negara dalam permainan video Counter-Strike: Global Offensive (CS:GO), Ramona Azween Zaharuddin tidak pernah memasang hajat menyertai pasukan lain selain kelab diwakilinya di China, Tyloo.fe HSG.

Bagi Ramona, Tyloo.fe mempunyai status sebagai pasukan elit di China dan cukup berpe­ngaruh serta dikenali di seluruh dunia dalam arena CS:GO wanita.

Kesanggupan Tyloo.fe me­ngupah tukang masak peribadi buat Ramona juga adalah salah satu faktor dia akan terus setia dengan pasukan yang pernah layak ke Final Dunia Kejohanan Dunia Sukan Eletronik (WESG) 2019 itu.

“Saya langsung tidak berminat sertai pasukan lain. Saya percaya inilah pasukan yang mampu membawa saya bermain sehingga ke pentas dunia.

“Saya tidak berdepan kesukaran di China kerana saya sendiri cuba belajar bahasa di sana supaya memudahkan saya untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan sepasukan dalam permainan.

“Tyloo juga sanggup me­ngupah cef makanan halal semata-mata untuk keperluan saya setiap kali saya berada di sana. Ini salah satu cara Tyloo membuktikan mereka ambil berat dan memenuhi setiap keperluan saya,” katanya.

RAMONA ceria bersama trofi kemenangan dalam satu pertandingan ketika mewakili pasukan Tyloo.fe pada tahun lepas. 

Nama Ramona bukan asing lagi dalam arena e-Sukan negara memandangkan gadis berusia 31 tahun itu sudah mula aktif bermain permainan video online sejak berusia 14 tahun yang ketika itu popular dengan permainan video CS 1.3.

Pemain dari Subang Jaya itu berjaya meraih pelbagai kejayaan dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa termasuk mengetuai bekas kelabnya yang membariskan semua pemain wanita, Orange Sphynx menjuarai Kelayakan Malaysia WESG 2018.

Selain Ramona, Orange Sphynx turut diwakili Aisya Sabrina Sabri, Iffah Nazurah Saidi, Jasmine Christina Sim Huiyan, Shanice Choo Xin Ru dan Intan Farhana Harun Noor Rashid.

Pada masa sama, Ramona berjaya membantu Orange Sphynx mencatat sejarah tersendiri apabila muncul naib juara Kejuaraan Wanita Asia ZOWIE Divina 2019 di Shanghai, China sekali gus layak ke DreamHack Showdown Valencia 2019.

Seminggu selepas kejohanan di Valencia, Ramona membuat kejutan apabila meninggalkan Orange Sphynx dengan me­nyertai Tyloo.fe pada Julai tahun lepas dan berjaya membantu pasukan itu mara ke Final Dunia WESG 2020.

Justeru, Ramona merasakan kejayaannya setakat ini telah membuktikan kaum wanita mampu bersaing dengan golo­ngan lelaki yang kebiasaannya memonopoli industri e-Sukan.

“Bagi saya, e-Sukan adalah gender neutral, bukan sukan tradisional seperti bola sepak atau bola keranjang. Lelaki dan wanita boleh bersaing bersama-sama kerana tidak semestinya lelaki ada kelebihan berbanding wanita.

“Tidak mungkin wanita dapat bersaing dengan lelaki dalam konteks kekuatan dan kepantasan tetapi ini adalah e-Sukan, mereka boleh bersaing dan kalahkan golongan lelaki,” jelas­nya.

Jadi tidak hairan Ramona begitu aktif mempromosi e-Sukan dan pada masa sama, lantang memperjuangkan hak dan kebajikan pemain serta mutu penganjuran kejohanan di Malaysia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI