fbpx

Nurflix.TV strim siaran digital patuh syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYED Zainal Abidin (kanan) menyerahkan tongkat sebagai tanda penghargaan kepada Habib Ali Zaenal Abidin sebagai Penyelia Kehormat (Musyrif) Nurflix.TV. – MOHAMMAD IQBAL ROSLI

Tercetus daripada hasil pemerhatian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan pertambahan penggunaan internet dengan lambakan bahan tontonan daripada pelbagai platfom media digital seperti Netflix, Iflix dan TikTok tanpa batasan, sebuah syarikat milik bumiputera, Nurflix.TV hadir dengan konsep islamik.

Meskipun siaran percubaannya dijangka bermula Oktober depan, platform penstriman digital baharu yang dibawakan oleh Sutera Hijau Ventures Bhd. tersebut dilihat sebagai satu momentum positif untuk khalayak dengan tawaran kandungan selamat ditonton oleh semua golongan masyarakat berlandaskan adab serta akhlak Islam.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir berkata, Nurflix.TV yang djadualkan pelancarannya pada Januari 2021 disasar muncul sebagai platform hiburan tetapi pada masa yang sama mampu menyampaikan dakwah dan mesej positif kepada penonton.

“Idea menghasilkan Nurflix.TV tercetus apabila saya lihat kebanyakan kandungan media sosial pada hari ini tidak ditapis dan secara bebas memaparkan pelbagai imej negatif yang mampu memberi impak tidak elok kepada umum terutama kanak-kanak.

“Saya sangat risau dengan apa yang akan berlaku kepada generasi akan datang? Disebabkan itu, saya mula terfikir alangkah bagus jika ada platform digital yang memiliki pelbagai kandungan patuh syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran Nurflix.TV di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh pendakwah terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid. Syed Zainal memberitahu, dengan adanya Nurflix.TV, platform tersebut dijangka menjadi pilihan ibu bapa yang menginginkan paparan selamat ditonton terutama kanak-kanak.

Tambahnya, setiap kandungan Nurflix.TV akan diklasifikasikan kepada empat kategori iaitu umum, wanita, kanak-kanak dan pendidikan.

“Setakat ini, tiada lagi platform digital seumpama ini. Jadi kami yakin ramai yang menantinya. Saya percaya kandungan yang baik mampu menjadi batu asas untuk membentuk pemikiran penonton terutama dalam kalangan remaja yang mudah dipengaruhi.

“Nurflix.TV juga menawarkan ribuan kandungan yang selamat ditonton, tidak perlu ditapis mengikut umur seperti PG13, PG18 atau 18SX dan paling penting berlandaskan aspek adab serta akhlak,” ujarnya.

Semua karya yang diterbitkan menerusi Nurflix.T juga dapat membantu mereka yang mencari jawapan dalam sebuah perjalanan hidup.

“Setiap bahan terbitan kami akan mengandungi 1,001 mesej tersirat mengenai perjalanan kehidupan sebagai seorang Muslim, tidak kiralah lelaki mahupun wanita. Saya pasti platform ini akan memberi impak besar kepada sesetengah orang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pihaknya juga amat bersyukur kerana ramai selebriti tanah air yang bersetuju untuk bekerjasama menghasilkan karya-karya hebat.

“Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana tidak mengambil masa yang lama untuk menyatakan persetujuan berkolaborasi bersama kami. Ini adalah satu penghormatan besar kepada Nurflix.TV.

“Mereka yang terlibat bukan calang-calang dan mempunyai nama serta peminat yang ramai dalam industri seni tanah air. Ini akan dapat membantu untuk menarik lebih ramai pelanggan siaran digital ini,” jelasnya.

Antara selebriti tanah air dan agamawan yang bersetuju untuk berkolaborasi dalam penghasilan kandungan Nurflix.TV ialah Mira Filzah, Ustazah Asni Abu Mansur, Mawi, Wany Hasrita, Altimet dan Yasin Sulaiman.

Kesemua mereka akan terbabit dalam penghasilan 12 karya termasuk drama bersiri, rancangan soal jawab dan dokumentari yang akan mula ditayangkan pada Oktober depan.

Menurut Syed Zainal, Nurflix.TV juga menitik berat kualiti produksi dan nilai kreativiti dalam setiap kandungan yang akan dipaparkan di platform berkenaan.

“Tidak kisahlah orang nak kata ini platform yang berunsur islamik, namun apa yang penting ialah kualiti kerana aspek tersebut merupakan faktor utama untuk menarik lebih ramai pelanggan,” tuturnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syah Mohamed berkata, platform berkenaan diwujudkan bukan untuk bersaing dengan penstriman digital sedia ada seperti Netflix dan Iflix kerana objektif penghasilan Nurflix.TV berbeza.

“Kehadiran Nurflix.TV juga berlandaskan harapan dapat membantu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada karyawan dalam sektor industri kreatif.

“Justeru, kami sangat mengalu-alukan penglibatan lebih ramai golongan ulama, penerbit, pengarah, penulis skrip dan anak seni bagi menyemarakkan platform ini, sekali gus dapat merancakkan lagi industri siaran digital negara,” katanya ringkas.

Nurflix.TV dijangka memulakan siaran percubaan secara percuma untuk tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember depan. Antara tajuk telefilem, drama dan dokumentari yang akan ditayangkan di Nurflix.TV ialah Mira Mira On The Wall, Kapal Haji, Sabilu, I.C.U dan The Khadija’s.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI