fbpx

K2

Pembersih udara semula jadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POKOK hiasan dalaman di dalam rumah semakin diminati masyarakat di negara ini.

BAGAIKAN ada ketenangan yang dirasakan tatkala Idura Mat Ali, 36, menatapi pokok-pokok menghijau yang tersusun di ruang tamu rumahnya.
Suri rumah itu mempunyai minat mendalam terhadap penanaman pokok hiasan sejak beberapa tahun lalu apabila mengetahui manfaat tumbuhan yang membekalkan oksigen dan terapi jiwa.

Antara pokok hiasan dalaman yang ditanam wanita dari Kuantan, Pahang itu ialah lidah jin, peace lily dan monstera. Idura meletakkan pokok-pokok tersebut di dapur dan ruang tamu, selain balkoni rumahnya.

Sebagai seorang yang sudah agak lama menyukai pokok hiasan dalaman, Idura berasa agak terkejut apabila sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai yang mula mengikut jejaknya meminati pokok hiasan itu dan bertanyakan kepadanya tentang tip penjagaan.

“Namun, pada masa sama, ada juga yang risau dengan dakwaan pokok lidah jin beracun walaupun sepanjang menanam pokok itu, saya dan keluarga tidak pernah mengalami sebarang keracunan.

“Lagi pun hendak jaga pokok hiasan dalaman ini mudah. Saya hanya perlu menyiram dua minggu sekali,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Sememangnya sejak tempoh PKP lalu, minat orang ramai terhadap pokok hiasan dalaman semakin berkembang terutamanya apabila tular mengenai tanaman lidah jin hingga mencetuskan fenomena.

Bagaimanapun, dalam keghairahan itu terdapat dakwaan bahawa pokok hiasan tersebut didakwa boleh memberikan kesan negatif kerana mengandungi bahan kimia dikenali saponin yang boleh menyebabkan gejala ringan seperti muntah, cirit-birit dan ruam jika termakan.

 

IDURA merapikan pokok-pokok hiasan yang terdapat di rumahnya di Kuantan, Pahang.

Serap

Sementara itu, mengulas populariti pokok hiasan dalaman terutamanya lidah jin, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Jabatan Pertanian, Muhamad Adli Salihin Samsudin berkata, ia dipercayai bermula sejak musim PKP apabila semua orang mencari aktiviti yang sesuai dilakukan seisi keluarga di rumah.

Apatah lagi timbul pelbagai dakwaan yang mengatakan pokok tersebut boleh menyedut habuk dan membersihkan udara.

“Sebenarnya, bukan pokok lidah jin sahaja, semua pokok hiasan dalaman rumah boleh berfungsi sebagai pembersih udara kerana ia menyerap gas pencemar dan membebaskan oksigen menerusi proses fotosintesis.

“Bagaimanapun, perlu dijelaskan ia tidak bertindak menyedut habuk sebaliknya memerangkap habuk jika tidak dibersihkan,” katanya ketika ditemui K2 di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Jelasnya, pokok hiasan dalaman berupaya membuat fotosintesis walaupun tiada matahari di dalam rumah kerana ia mempunyai ciri-ciri tertentu yang tiada pada pokok luar rumah.

“Pokok hiasan dalaman mempunyai sistem daun (foliaj) yang lebar dan besar bagi membolehkannya mampu berada pada kadar cahaya matahari yang rendah.

“Pokok hiasan dalaman sangat istimewa kerana boleh diletakkan di dalam kediaman. Sebaliknya, pokok hiasan luar seperti bunga kertas dan bunga raya tidak boleh diletakkan di dalam rumah,” katanya.

 

MUHAMAD Adli berpengalaman hampir dua dekad dalam bidang landskap dan pertanian.

 

Beliau menerangkan semua pokok mempunyai kimia tersendiri dan begitu juga tahap kandungannya.

“Sebagai contoh, buah betik mengandungi bahan kimia yang dikenali sebagai papain dan digunakan untuk melembutkan daging. Sebenarnya lidah jin mengandungi toksin yang sangat rendah, malah saponin yang terdapat dalam pokok itu ada antaranya untuk tujuan perubatan,” tuturnya.

Melatah

Bahkan, pokok hiasan dalam rumah dapat mengurangkan volatile organic compound (VOC) iaitu sebahagian besar bahan kimia yang terdapat dalam banyak produk yang kita gunakan di kediaman kita.

Kesemua gas pencemar atau bahan kimia tersebut terdapat dalam rumah seperti pencuci lantai, asap masakan, cat, asap rokok, bau sampah, gam, pengilat kuku dan racun serangga. Ia juga dapat membersihkan radiasi di dalam rumah hasil daripada penggunaan seperti gajet, televisyen, ketuhar gelombang mikro dan komputer riba.

Dalam hal ini, Muhamad Adli menasihatkan orang ramai agar tidak mudah melatah mengenai bahan kimia yang ada pada pokok, sebaliknya perlu bijak mengendalikan pokok yang mengandungi bahan kimia dan dikategorikan sebagai beracun.

“Teorinya mudah sahaja, jika kita tidak sentuh atau gigit pokok tersebut maka ia tidak akan mendatangkan kemudaratan.

“Adalah penting untuk kita mengamalkan prosedur operasi standard semasa melakukan aktiviti penanaman seperti membasuh tangan selepas menyentuhnya dan menggunakan peralatan yang betul,” katanya yang berpengalaman hampir dua dekad dalam bidang landskap, florikultur dan pertanian.

Beliau turut menyenaraikan beberapa langkah penting sekiranya menanam pokok yang mengandungi bahan kimia tinggi seperti meletakkan di tempat yang selamat, jauhkan daripada kanak-kanak dan labelkan pokok tersebut.

Pemilik Laman Baginda Nursery, Harry Hafiz, 39, pula mengakui jualan pokok hiasan dalaman terutama lidah jin meningkat luar biasa ekoran kuasa tular di media sosial.

“Jika sebelum ini, kami mampu menjual 10 hingga 20 pokok lidah jin seminggu, tetapi sejak ia menjadi tular sebanyak 100 pokok sehari terjual. Selain itu, pokok-pokok hiasan dalaman lain juga menunjukkan peningkatan luar biasa sehingga perlu menambah stok beberapa kali dalam seminggu,” katanya ketika ditemui di nurseri di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian daripada Universiti Putra Malaysia itu tidak menyangka industri landskap boleh berkembang sepantas ini ekoran kuasa tular.
Dia yang turut memiliki dua lagi nurseri terletak di Batu Pahat, Johor dan Subang, Selangor berkata, jika dahulu pokok lidah jin dijual RM6 sepokok, kini boleh mencecah RM30 sepokok.

“Masyarakat sudah terbuka untuk menanam sendiri di rumah,” katanya yang menawarkan 600 jenis pokok di Laman Baginda Nursery yang terletak di Bandar Baru Bangi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI