fbpx

Polis Indonesia dakwa tiga bos agensi pekerjaan berhubung kematian kru kapal nelayan China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POLIS memindahkan mayat seorang kru Indonesia dari atas sebuah kapal nelayan pada 8 Julai lalu selepas dia dibunuh di Batam. - AFP

JAKARTA – Polis Indonesia mendakwa tiga bos agensi pekerjaan berhubung kes seorang kru warga tempatan yang diseksa sehingga mati dengan mayatnya ditemui di dalam bilik sejuk beku di atas kapal nelayan China, kata seorang pegawai hari ini.

Mereka didakwa seminggu selepas seorang penyelia China di atas kapal Lu HuangYu 118, didakwa kerana membunuh Hasan Apriadi, 20, dan menyerang seorang kru Indonesia lain yang bekerja di atas kapal itu.

Ketiga-tiga suspek menguruskan dua agensi pekerjaan yang mengupah Hasan dan sekurang-kurangnya sembilan kru lain untuk bekerja di atas kapal China terbabit, kata polis.

“Ketiga-tiga suspek ditahan dan didakwa di bawah undang-undang pemerdagangan manusia,” kata jurucakap Polis Nasional Indonesia, Awi Setiyono sambil menambah, polis turut memburu dua pegawai kanan syarikat itu yang masih bebas.

Pada awal bulan ini, polis berkata, pihaknya memintas dua kapal nelayan China yang belayar menuju Argentina di Selat Melaka selepas menerima maklumat bahawa seorang kru meninggal dunia di atas salah sebuah kapal tersebut.

Polis kemudian menemui mayat Hasan di atas kapal Lu Huang Yuan Yu 118.

Selepas menyoal siasat berpuluh-puluh kru kapal dari China, Indonesia dan Filipina, polis mendakwa warganegara China, Song Chuanyun berhubung pembunuhan itu.

Memetik keterangan saksi, pihak berkuasa berkata, Chuanyun telah memaksa mangsa bekerja walaupun dia jatuh sakit. Lelaki itu kemudian menyeksa mangsa dan tidak memberikannya makanan atau minuman selama beberapa hari. Hasan meninggal dunia lewat Jun lepas.

Chuanyun akan dibicarakan di Indonesia, manakala kru lain dibebaskan dan berada di bawah penahanan kedutaan masing-masing, kata jurucakap polis wilayah Riau, Harry Golden Hart.
Pada Jun lepas, dua kru Indonesia terjun dari bot China berlainan untuk melarikan diri daripada penderaan dan persekitaran kerja yang teruk – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI

BERITA BERKAITAN