fbpx
GAMBAR HIASAN

Kosmo! sentiasa dekat dengan masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
WAN HASNAN WAN HASAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD.

SETELAH hampir 10 bulan tidak mewarnai industri persuratkhabaran negara, Kosmo! kini tampil semula di pasaran sebagai salah sebuah akhbar arus perdana utama setelah operasinya dihentikan buat sementara pada 9 Oktober 2019.

Kali ini, Kosmo! kembali dengan imej baharu yang lebih segar di bawah payung Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. dengan matlamat untuk menyajikan pelbagai maklumat kontemporari terbaik kepada pembaca melalui dua platform utamanya itu akhbar dan digital.

Fokus akhbar ini yang akan menjangkau usia 16 tahun pada 31 Ogos nanti, pastinya tidak pernah berubah sejak dari awal penerbitannya iaitu untuk menjadi suara kepada seluruh lapisan rakyat khususnya dalam mengetengahkan isu-isu yang dekat dengan masyarakat meliputi golongan muda, kepenggunaan dan permasalahan penduduk setem­pat.

Selepas akhbar pertamanya menembusi pasaran pada 31 Ogos 2004, Kosmo! terus bergerak ke hadapan sehingga menjadi antara akhbar yang paling pantas berkembang apabila menerima sokongan memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sokongan berterusan daripada pembaca di seluruh negara akhirnya menjadikan Kosmo! sebagai akhbar bahasa Melayu nombor satu pada penghujung tahun 2015 apabila berjaya mendahului pesaing-pesaingnya yang lebih lama mewarnai industri media tanah air dari segi jualan.

Momentum kejayaan itu bagaimanapun terbantut seketika apabila penerbitan akhbar ini terpaksa dihentikan pada akhir tahun lalu ekoran penutupan syarikat Utusan Melayu (M) Bhd.

Bagaimanapun, pihak Media Mulia Sdn. Bhd. dengan model bisnes baharu yang menitikberatkan aspek kos operasi yang lebih efisien telah tampil untuk menerbitkan semula Kosmo!.

Dengan pasukan editorial yang lebih kecil, tetapi bertenaga, Kosmo! akhirnya kembali semula dengan imej baharu yang lebih segar, namun kekal dengan menyajikan laporan-laporan berita semasa yang sentiasa dekat dengan masyarakat.

Walaupun kini tampil dengan imej baharu, namun isu-isu rakyat membabitkan masalah kepenggunaan, berita-berita berunsur pendedahan, cerita orang muda, masyarakat setempat, laporan luar negara, hiburan dan sukan terkini tetap menjadi tunjang utama dalam penerbitan Kosmo!.

Selain itu, konsep majalah dalam akhbar yang menjadi teras dalam penerbitan akhbar kompak ini juga akan dite­ruskan melalui sisipan K2.

Bagi kami, kehadiran akhbar kompak ini di pasaran bukan hanya sekadar menyampaikan berita dan menjadi sumber maklumat utama kepada semua, tetapi kami berharap Kosmo! akan menjadi jambatan yang menyambung segala luahan hati rakyat dengan pihak berkuasa.

Secara prinsipnya, Kosmo! juga akan berperanan sebagai salah satu medium utama untuk menjana dan memba­ngunkan minda masyarakat dengan menyajikan pelbagai bahan berita terkini serta rencana ilmiah melalui platform akhbar dan digital.

POPULAR