fbpx
RAZLAN (kanan) sempat merakam gambar selfie bersama Quartararo yang memegang trofi kemenangan pada GP Sepanyol di Litar Jerez kelmarin.

Hari bersejarah buat pasukan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS 22 tahun menyepi, ­akhirnya pasukan satelit Yamaha, Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) tampil de­ngan ‘taring’ sebenar apabila pelumba sensasi, Fabio Quartararo menjelmakan kemenangan sulung pada perlumbaan pembukaan Grand Prix (GP) Sepanyol kelmarin.

Pada penampilan pertamanya musim lalu, pelumba muda berusia 21 tahun itu terlepas peluang untuk meraih kemenangan apabila sekadar menjadi naib juara sebanyak empat kali daripada tujuh perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) terakhir bersama pasukan Petronas Yamaha SRT.

Tahun ini, pelumba kelahiran Perancis itu seakan-akan tidak mahu lagi terlepas peluang me­raih kemenangan selepas tampil dengan tunggangan menyakinkan di Litar Jerez meskipun diasak hebat oleh jaguh dunia, Marc Marquez (Honda Repsol) dan Maveric Vinales (Yamaha Monster Energy).

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, kejayaan yang dilakar oleh anak buahnya itu secara tidak langsung telah menaikkan jenama Petronas dan Malaysia dalam saingan kelas premier perlumbaan MotoGP.

Katanya, setakat ini, dia masih tidak percaya dengan apa yang terjadi, namun itulah keputusannya iaitu mendapat nombor satu.

“Hari ini amat bersejarah bagi pasukan Petronas Yamaha SRT sebab mendapat kemenangan sulung dalam saingan MotoGP.

“Saya berbangga kerana pasukan dan pengurusan dari Malaysia, kita berjaya merangkul tempat pertama pada MotoGP meskipun masih baharu dalam arena ini.

“Kejayaan ini sekali gus me­lonjakkan nama Malaysia dan Petronas ke pentas dunia. Saya masih lagi tidak percaya apa yang terjadi. Itulah keputusannya kita dapat No. 1.

“Lebih menarik, SRT adalah Pasukan satelit (Yamaha) pertama meraih kemenangan dalam sejarah perlumbaan MotoGP sejak 22 tahun lepas,” kata Razlan dalam satu rakaman video pendek selepas perlumbaan itu.

Razlan berkata, Petronas Yamaha SRT terus melakukan persiapan rapi bagi menghadapi saingan GP Andalusia yang dija­dual berlangsung minggu depan di litar sama.

“Tempoh rehat yang singkat ini, kita akan bekerja keras dan melakukan persiapan sebaik mungkin.

“Sudah pasti saya mengharapkan kita mampu mengula­ngi pencapaian yang sama ming­gu depan,” tambahnya.

POPULAR