fbpx

Kehidupan Orang Asli terjejas akibat laluan balak rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk setempat membersihkan laluan yang terhalang di lima buah pos pedalaman di Gua Musang.

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Kehidupan harian 7,000 penduduk Orang Asli di lima buah pos pedalaman di sini terjejas berikutan jalan diperbuat daripada kayu balak yang menjadi laluan utama mereka rosak teruk akibat hujan lebat sejak seminggu lalu.

Pos Orang Asli yang menghadapi masalah perhubungan kerosakan jalan balak yang serius ketika ini ialah di Pos Tohoi, Pos Bihai, Pos Simpor, Pos Belatim dan Pos Gob.

Penghulu Pos Bihai, Alang Segan berkata, kejdian itu menyebabkan kebanyakan Orang Asli di sekitar pos terbabit tidak dapat keluar ke bandar Gua Musang.

Katanya, penduduk juga terpaksa berdepan dengan masalah kehabisan makanan ekoran sukar untuk keluar ke bandar jika jalan tidak dibaiki secepat mungkin.

“Kita mengharapkan kerajaan dapat mengambil tindakan segera untuk membaiki jalan rosak supaya penduduk tidak dibebani dengan masalah ini terlalu lama.

“Sebelum ini, penduduk juga telah bergotong-royong membina jambatan kayu sementara tetapi tidak tahan lama dan runtuh semula,” katanya.

Keadaan jalan balak di kawasan perkampungan Orang Asli dekat sini rosak teruk akibat hujan lebat seminggu lalu.

 

Seorang lagi penduduk Kampung Tendrik, Pos Bihai, Pelinejon Assut, 35, berkata, sekurang-kurang terdapat enam lokasi jalan runtuh dari Pos Bihai ke Pos Belatim

Katanya, dua jambatan kayu juga runtuh selepas dilanda arus deras apabila air sungai melimpahi tebing.

“Jambatan kayu itu dibina syarikat pembalakan untuk laluan lori muatan balak bagi menghantar ke kilang di luar kawasan ini.

“Kejadian kerosakan jalan itu paling teruk sepanjang tahun ini sehingga menjejaskan kami untuk keluar ke bandar ini bagi melakukan urusan harian,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, masalah perhubungan penduduk Orang Asli dalam perhatian pihaknya dan telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Katanya, pihak syarikat pembalakan sedang membaiki kerosakan jambatan tersebut di beberapa kawasan terlibat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI