fbpx

Dua individu dikesan positif Covid-19 pada GP Hungary 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELUM ada laporan mengaitkan pelumba-pelumba F1 dikesan positif Covid-19 sejak perlumbaan kembali berlangsung. - AFP

BUDAPEST – Saingan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Hungary cemas apabila dua individu didapati positif Covid1-19 selepas menjalani sesi ujian pada 10 hingga 16 Julai lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIA) dan pemegang hak komersial F1 menjelaskan, pihaknya telah menjalankan ujian saringan melibatkan 4,997 individu, namun hanya dua individu dikesan positif Covid-19. 

Bagaimanapun, kedua-dua individu berkenaan didapati tidak berada di lokasi litar ketika perlumbaan pusingan kedua di GP Austria minggu lalu.

PERLUMBAAN pada saingan GP Hungary hujung minggu ini sedikit cemas susulan dua individu dikesan positif Covid-19.“FIA dan F1 mengesahkan antara 10 hingga 16 Julai lalu, seramai 4,997 ujian saringan Covid-19 telah dilakukan dengan membabitkan pelumba, ahli pasukan dan orang perseorangan.

“Daripada jumlah tersebut, dua individu diuji positif dan mereka tidak berada di Austria. Individu dijangkiti juga akan dikeluarkan daripada operasi dan diasingkan.

“Kami sudah mengesan mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan individu berkenaan dan segera diasingkan. FIA dan F1 menyalurkan maklumat ini untuk tujuan integriti dan membuktikan ketelusan kami.

“Tidak ada perincian khusus mengenai pasukan atau individu akan didedahkan, namun hasil ujian akan diumumkan secara terbuka bagi setiap tujuh hari,” katanya.

Dua ujian positif itu adalah kali pertama dicatatkan dalam sukan F1 sejak perlumbaan pembuka tirai GP Australia dibatalkan.

Semua yang terbabit dalam perlumbaan F1 diuji setiap lima hari dan menjadi sebahagian daripada protokol ketat membabitkan semua pasukan dan pelumba. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI