MADRID – Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dinobatkan sebagai juara La Liga buat kali ke-34 selepas berjaya merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Villarreal ketika saingan masih berbaki satu perlawanan.
Pencabar terdekat, Barcelona terpaksa berpuas hati di tangga kedua liga selepas tewas mengejut 1-2 kepada Osasuna di Camp Nou sekali gus ketinggalan tujuh mata apabila hanya mengutip 79 mata berbanding The Galacticos yang meraih 86 mata.
Pengendali Real, Zinedine Zidane mengakui sangat gembira dapat membantu pasukan menjuarai La Liga buat kali pertama selepas musim 2017 sekali gus menamatkan dominasi Barcelona.
“Ini adalah kejayaan yang paling manis buat pasukan kami dan saya sangat gembira. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa trofi La Liga lebih bermakna berbanding Liga Juara-Juara Eropah kerana persaingannya cukup sengit.
“Secara peribadi, saya beranggapan kami adalah pasukan terbaik di Sepanyol tahun ini, bukan sahaja mengutip mata lebih tinggi, malah komitmen pemain sepanjang musim cukup luar biasa,” katanya. – AGENSI
