fbpx

Bekas isteri Depp dituduh ‘curi’ kisah mangsa cabul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail 4 September 2015 menunjukkan Depp dan Heard menghadiri Festival Filem Venice di Itali. - AFP

LOS ANGELES – Bekas isteri Johnny Depp, Amber Heard ‘mencuri’ kisah pembantu peribadinya bahawa dia ialah mangsa serangan seksual, kata bekas pekerja Heard itu kepada sebuah mahkamah Britain pada hari ketujuh perbicaraan saman fitnah bintang hollywood tersebut semalam (Rabu, 15 Julai, 2020).

“Saya terkejut dan kecewa mengetahui Heard mencuri perbualan kami mengenai keganasan seksual yang saya alami dan mengubahnya menjadi kisah sendiri demi kepentingan peribadi, “ kata Kate James kepada Mahkamah Tinggi London menerusi sidang video dari Los Angeles.

James bekerja sebagai pembantu peribadi aktres berusia 34 tahun itu dari tahun 2012 hingga 2015.

“Saya amat tertekan dan marah kerana dia berani menggunakan pengalaman paling ngeri saya sebagai kisahnya sendiri,” tambah wanita itu.

Depp yang memegang teraju utama filem Pirates of the Caribbean, menyaman penerbit dan pengarah eksekutif tabloid Britain, The Sun kerana melabelnya sebagai ‘pemukul isteri’ dalam satu liputan pada tahun 2018.

Depp, 57, sebaliknya menafikan pernah memukul Heard semasa perkahwinan mereka selama dua tahun yang berakhir dengan perceraian pada 2017 disusuli beberapa saman. Aktres tersebut mendakwa Depp pernah mengasarinya sekurang-kurangnya 14 kali.

Terdahulu, James memberitahu mahkamah sama bahawa Heard gemar minum arak dan menghantar mesej biadab di tengah malam.

Saksi kedua perbicaraan tersebut, Ben King yang bekerja dengan bintang Hollywood itu sebanyak tiga kali antara tahun 2014 hingga 2016 berkata, Heard kerap menjadi ‘ si mulut celupar’ dalam perkahwinan tersebut.

“Mereka bergaduh seperti budak tadika,” katanya.

Malah, King pernah menemui semula hujung jari Depp yang didakwa aktor tersebut dikerat isterinya sendiri menggunakan botol arak yang pecah.

Bagaimanapun, Heard yang dijadual memberi keterangan esok mengekalkan dakwaannya bahawa Depp mendapat luka berkenaan semasa menggunakan telefon. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN