LANGKAWI – Cubaan dua individu untuk menyeludup dadah jenis syabu mampat seberat lima kilogram (kg) bernilai RM769,050 melalui perairan Langkawi gagal apabila bot dinaiki mereka dikesan Maritim Malaysia (APMM) berhampiran Pulau Singa Besar di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi itu, bot dinaiki suspek dikesan Bot Petir 81 yang sedang melakukan rondaan Op Benteng Laut.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, bot tersebut memecut laju setelah menyedari kehadiran bot peronda APMM.
“Bot peronda bertindak mengejar bot itu dan salah seorang suspek didapati mencampakkan satu objek ke dalam laut pada kedudukan 3.1 batu nautika barat daya Pulau Singa Besar sebelum melarikan diri dengan menuju ke arah sempadan negara.
“Dalam keadaan cuaca buruk dan laut bergelora, bot APMM berpatah balik bagi mendapatkan objek yang dibuang dan menemui sebuah kotak berwarna coklat dibaluti plastik lut sinar terapung di permukaan laut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut di sini hari ini.
Kata beliau, hasil pemeriksaan lanjut menemui lima bungkus plastik lut sinar dengan anggaran berat sekilogram setiap satu disyaki mengandungi syabu.
“Kesan cap jari yang ditemui pada bungkusan tersebut telah dihantar ke bahagian forensik untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Menurut Mohd. Zawawi, pihaknya percaya modus operandi sindiket itu adalah dengan menyeludup dadah dari negara jiran dan menjadikan Pulau Langkawi sebagai transit untuk pasaran antarabangsa.
“Gerakan memburu suspek masih giat dilakukan dan orang awam yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 atau 04-966 5300,” katanya.
Tambahnya, hasil rampasan dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut di sini untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE