fbpx

Pasangan kekasih kirim dadah guna kurier diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dadah yang dirampas polis dalam satu serbuan di Cheras, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kegiatan sepasang kekasih aktif mengedar dadah menggunakan perkhidmatan kurier sejak dua tahun lalu berjaya ditumpaskan selepas mereka ditahan dalam dua lokasi berasingan di ibu kota kelmarin.

Bertindak atas maklumat sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras menyerbu sebuah syarikat penghantaran di Salak South pada pukul 2.30 petang sebelum menahan suspek lelaki berusia 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, hasil pemeriksaan ke atas kotak dibawa peniaga ikan itu polis menemui 1,861 pil ekstasi.

Katanya, suspek menyembunyikan dadah tersebut dalam kotak yang didakwa mengandungi barang ganti motosikal.

“Susulan itu, berpandukan pada maklumat suspek pihak polis menyerbu sebuah rumah di Kepong dan menahan kekasihnya yang juga warga Indonesia.

“Hasil siasatan mendapati wanita berusia 40 tahun itu bekerja sebagai peniaga online dan kita percaya mereka menggunakan taktik menghantar barang lain bersama dadah bagi mengaburi mata pihak polis,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya lagi, kesemua pil ekstasi yang dirampas bernilai RM55,000 dan dipercayai mampu dibekalkan kepada lebih kurang 2,000 orang penagih.

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga 14 Julai ini bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI