fbpx

Eksentrik: Lembu cipta rekod dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lembu dari Nebraska, Amerika Syarikat ini mencipta rekod lembu membuat 10 aksi dalam tempoh satu minit.

KISAH haiwan memecah rekod dunia dengan melakukan pelbagai trick (helah) atau mengikut arahan bukanlah suatu perkara yang aneh.

Anjing, kucing, arnab, burung kakak tua dan tikus belanda merupakan antara haiwan yang pernah mencipta rekod dalam Guinness World Records.

Namun buat pertama kalinya dalam sejarah, seekor lembu di Nebraska, Amerika Syarikat, meraih pengiktirafan yang sama baru-baru ini.

Lembu baka Charolais bernama Ghost telah mencipta rekod baharu setelah berjaya melakukan 10 helah dalam masa satu minit sekali gus mencipta rekod baharu bagi kategori lembu.

Dimiliki oleh seorang wanita bernama Megan Reimann, lembu berusia empat tahun tersebut mengikut arahan ketika disuruh duduk diam, datang ketika dipanggil, masuk ke dalam tali, berputar, tunduk hormat, naik ke atas platfom, angkat satu kaki, sentuh loceng, cium dan angguk.

Menurut Megan, Ghost boleh melakukan beberapa aksi lain termasuk keupayaan untuk membezakan warna.

“Saya sedar Ghost merupakan seekor lembu yang sangat istimewa sejak pertama kali saya melihatnya.

“Sejak itu, saya memutuskan bahawa saya akan ajarnya untuk lakukan sesuatu yang istimewa,” kongsinya.

Megan mengajar kursus latihan helah untuk kuda, dan dia memutuskan untuk menggunakan kaedah sama ke atas lembu kesayangannya itu.

MEGAN melatih Ghost melakukan aksi-aksi.

Jelas Megan, dia tidak pernah terfikir tindakannya itu mampu meraih gelaran rekod dunia Guinness World Records.

Tetapi semua itu berubah setelah dia terjumpa artikel tentang Joy si khinzir.

Setelah mengetahui tidak ada rekod serupa untuk kategori lembu, Megan terus mendaftar Ghost untuk kategori rekod helah paling banyak dalam masa satu minit bagi lembu.

“Kami memulakan latihan sambil diperhati lembu-lembu lain. Pada awalnya, Ghost dapat melakukan semua helah dalam masa dua minit.

“Tetapi setelah latihan demi latihan, Ghost menunjukkan peningkatan sehingga akhirnya berjaya lakukan helah dalam masa satu minit,” ujarnya.

Namun pada hari percubaan rasmi, keadaan cuaca yang masih bersalji menyukarkan Megan dan Ghost untuk beraksi pada awalnya.

Kehadiran wakil penjaga masa daripada Guinness World Record dan saksi bebas membuatkan Ghost rasa gugup.

Seperti semua percubaan Guinness World Records yang lain, Megan dan Ghost dibenarkan melakukan tiga percubaan.

Pada percubaan pertama, Ghost melakukan kesemua helah dengan sempurna kecuali pada bahagian putaran.

Megan memutuskan untuk melakukan percubaan kedua, dan Ghost dapat melakukan putaran yang sempurna pada percubaan kedua. Dengan itu, Ghost kini memegang rekod lembu dengan helah terbanyak dalam satu minit di dunia.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI