BUNYI enjin sampan memecah kesunyian Sungai Melinau ketika perjalanan menuju ke salah satu khazanah alam paling mengagumkan di Sarawak bermula.
Di kiri dan kanan, kehijauan hutan hujan tropika yang masih terpelihara mengiringi perjalanan menuju ke Kampung Batu Bungan, penempatan masyarakat Penan yang mengambil masa kira-kira 15 minit dari Mulu Marriott Resort & Spa.
Sebelum tiba, penulis dan rakan media lain dimaklumkan supaya menyediakan wang tunai untuk membeli hasil kraf tangan masyarakat setempat.
Namun, tanggapan awal bahawa komuniti yang tinggal jauh di pedalaman masih mengamalkan sepenuhnya cara hidup tradisional berubah sebaik sahaja melihat suasana pasar kraf tangan di situ.
Selain menawarkan hasil anyaman tangan warisan masyarakat Penan, pengunjung turut disediakan kemudahan pembayaran menggunakan kod QR.
Menurut jurupandu pelancong Mulu Marriott Resort & Spa, Steve Duloi, komuniti tempatan kini sudah beradaptasi dengan kemudahan moden biarpun tinggal di dalam hutan tebal.
“Walaupun masyarakat Penan di sini jauh terpisah daripada kemudahan bandar, namun sektor pelancongan yang rancak membuatkan mereka turut beradaptasi dengan kemodenan.
“Namun, mereka masih lagi mengekalkan warisan lama seperti kraf tangan dan masih bergantung kepada alam sekitar sebagai sumber keperluan harian mereka,” katanya kepada CitaRasa.

Setelah membeli-belah di perkampungan Penan itu, perjalanan diteruskan menaiki sampan menelusuri Sungai Melinau menuju ke jeti sebelum meneruskan penerokaan Gua Angin dan Gua Air Jernih di Gunung Mulu.
Gua Angin menyambut kedatangan kami dengan suasana dingin sebaik sahaja cahaya matahari semakin hilang, digantikan ruang gelap yang dihiasi formasi batu kapur berusia jutaan tahun.
Hembusan udara sejuk yang dirasai di beberapa bahagian gua, selain formasi batunya yang cantik, pasti membuatkan ramai terpegun seakan-akan berada dalam istana kristal.
Menurut Steve, keunikan Gua Angin terletak pada aliran udara semula jadi serta formasi batu kapur yang terdapat di dalamnya.
“Nama Gua Angin datang daripada hembusan udara yang boleh dirasai apabila pengunjung memasuki bahagian tertentu dalam gua.
“Antara tarikan menarik di sini ialah ruang yang dikenali sebagai King’s Chamber iaitu formasi batu semula jadi yang kelihatan seperti katil raja dan terbentuk hasil proses alam selama jutaan tahun,” katanya.

Cabaran seterusnya menanti apabila kami perlu mendaki kira-kira 200 anak tangga menuju ke pintu masuk Gua Air Jernih.
Namun, rasa penat itu berbaloi apabila disambut suasana gua yang dihiasi formasi batu kapur serta aliran air jernih yang mengalir melalui sistem gua tersebut.
Penulis sendiri mengambil kesempatan untuk merendam kaki di sungai yang berada di dalam gua tersebut.
Kongsi Steve, Gua Air Jernih juga merupakan lokasi unik bagi penyelam gua yang mahu meneroka dunia akuatik tersembunyi dalam sistem gua Gunung Mulu yang kaya terkenal dengan gua-gua.
“Gua Air Jernih merupakan sebahagian daripada sistem gua Mulu yang sangat besar dan bahagian berair dalam sistem ini pernah diteroka oleh penyelam gua dalam ekspedisi penerokaan.
“Aktiviti berkenaan tidak dibuka kepada umum dan hanya dilakukan pada masa tertentu melibatkan penyelam gua berpengalaman,” katanya.














