fbpx
Zulkifli berucap pada Program Safar Tour Wakaf Wilayah Persekutuan Siri 1 di Kompleks Darul Kifayah, Batu Caves, hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

Wakaf perlu kembali jadi nadi pembangunan ummah – Zulkifli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Institusi wakaf perlu kembali menjadi pemacu utama pembangunan masyarakat seperti pada zaman kegemilangan tamadun Islam dan tidak lagi dilihat sekadar untuk pembinaan masjid atau tanah perkuburan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, wakaf sebaliknya mampu menjadi instrumen penting dalam pembangunan pendidikan, kesihatan, penyelidikan dan ekonomi masyarakat.

Menurutnya, sejarah membuktikan institusi wakaf memainkan peranan besar ketika era kegemilangan Islam di Baghdad, Andalusia dan Istanbul sehingga menjadi antara tonggak utama pembangunan tamadun.

“Wakaf pada waktu itu bukan hanya untuk masjid atau tanah perkuburan, tetapi untuk hospital, universiti dan juga penyelidikan serta pembangunan (R&D),” katanya ketika merasmikan Program Safar Tour Wakaf Wilayah Persekutuan Siri 1 di Kompleks Darul Kifayah, Batu Caves, hari ini.

Beliau berkata, pemerkasaan sektor wakaf akan mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada kerajaan sekali gus melahirkan komuniti yang lebih berdikari serta mempunyai jati diri yang kukuh.

Menurutnya, Program Safar Tour Wakaf merupakan pendekatan strategik bagi memperkenalkan wakaf sebagai ibadah dan nadi pembangunan ekonomi ummah menerusi lawatan ke beberapa projek wakaf yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Apabila masyarakat memahami dan menyaksikan sendiri impak wakaf, mereka akan lebih yakin dan terdorong untuk berwakaf serta bersama-sama membudayakan amalan wakaf,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP) memperkenalkan pengalaman Realiti Maya (VR) bagi membolehkan pewakaf melihat sendiri projek yang dibangunkan hasil sumbangan mereka.

Beliau berkata, kutipan zakat MAIWP kini telah melepasi RM1.2 bilion dan disasarkan mencecah kira-kira RM1.3 biliontahun ini, namun pencapaian sektor wakaf masih belum setanding.

“Kita ingin cetuskan satu kebangkitan baharu, Sahwah Wakaf supaya masyarakat mempunyai budaya berwakaf. Setiap daripada kita boleh berwakaf dan wakaf merupakan antara amalan yang memberi pulangan paling tinggi di akhirat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN