WAJAH kerap menghiasi kaca televisyen menunjukkan kredibiliti pelakon, Ezzanie Jasny yang meraih kepercayaan penonton dan kelompok peminat tegar.
Kebelakangan ini selalu membawakan karakter wanita tersakiti, pemilik Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 27, itu mengakui setiap watak memberikan cabaran tersendiri.
Walau teruja menggalas amanah serta membuai perasaan khalayak, katanya mainan emosi membuatkan dia kehilangan tenaga sebaik sahaja kamera berhenti merakam.
“Memang saya akui kebanyakan naskhah yang saya jayakan tahun ini dan tahun lalu semuanya agak berat dan banyak bermain emosi hingga ada masanya saya ‘burnout’.
“Jadi apabila habis satu babak, saya akan terus berjalan keluar sebab terlalu penat tetapi itulah lumrah bekerja.
“Bagi saya setiap pekerjaan pasti ada cabarannya, begitu juga lakonan. Semua ini proses pembelajaran,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran drama terbarunya, Bulan Henti Bicara, baru-baru ini.
Memegang watak sebagai Zulfa yang terpaksa akur dengan permintaan bapa untuk bergelar isteri kedua seorang ahli perniagaan, jadual kerja Ezzanie juga padat sejak tahun lalu.
Selain menyempurnakan drama rantaian di bawah slot Melodrama Astro itu, komitmen lain turut dipenuhi atas rasa tanggungjawab.
Malah Ezzanie turut memaklumkan sejak mengalami kemalangan tahun lalu dia belum pernah bercuti panjang, sekali gus membuatkannya nekad berehat Ogos ini.
“Sebenarnya saya perlu memulihkan semula tenaga fizikal dan mental sebelum kembali sibuk di lokasi penggambaran.
“Cuma sejak kemalangan tahun lalu sehingga sekarang, saya memang tidak henti bekerja. Insya-Allah, bulan ini (Ogos) saya mahu berehat secukupnya.
“Ini kerana bermula September hingga awal 2027 sudah ada beberapa projek penggambaran. Ini semua rezeki, alhamdulillah. Terima kasih juga atas kepercayaan,” kongsinya.
Gila kerja
Tidak menolak dikatakan ‘workaholic’ atau gila kerja, Ezzanie mengakui terlalu mencintai karier lakonan sehingga sanggup mengetepikan rehat.
“Saya memang seorang yang ‘workaholic’, tak boleh duduk diam bahkan saya tak kisah buat apa kerja sekali pun asalkan halal dan membuat saya gembira.
“Kalau tiada penggambaran pun saya tak lekat di rumah. Ibu dan adik-beradik selalu cakap saya memang jenis tak tahu duduk diam,” katanya sambil tertawa.
Pada masa sama, wanita yang terjun ke arena seni sejak 2019 itu turut mengulas mengenai imejnya yang bersih daripada sebarang kontroversi.
Ezzanie bersyukur kerana perkara tersebut juga adalah hasil menjaga batas pergaulan supaya kekal bertahan lama dalam industri.
“Saya masuk dalam industri ini dengan niat ikhlas, tahu apa yang saya mahukan serta ingin kekal relevan. Saya hormati permintaan keluarga, jadi kena bijak jaga diri dan batas pergaulan,” kongsinya menutup bicara.














