SUATU ketika dahulu, hendak menghasilkan sebuah single atau lagu baharu memakan masa berbulan-bulan lamanya.
Usai dilancarkan, karya itu ibarat buah tangan eksklusif seorang penyanyi yang merangkumi penat lelah empunya lagu dan nukilan indah penulis lirik.
Namun, semakin maju teknologi, makin mudah menghasilkan sesebuah lagu. Hanya dengan satu butang, terhasil sebuah karya dalam sekelip mata.
Ia sekali gus menutup periuk nasi penggiat seni yang selama ini memerah idea, berhabis duit hanya untuk menghasilkan sebuah lagu atau album.
Jika dilihat trend masa kini, berlaku lambakan lagu yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Tidak cukup dengan itu, AI juga digunakan bagi menyunting semula lagu-lagu sedia ada dengan memberi nafas baharu yang cukup untuk memberi rasa kecewa kepada pemilik asal karya tersebut.
Meskipun ada yang bersuara mengenai isu hak cipta, namun kepantasan teknologi masa kini sukar untuk membendungnya.
Penyanyi tidak sepatutnya ‘terdesak’ untuk memiliki single sendiri sehingga sanggup mengambil jalan pintas menggunakan AI dan mengetepikan peluang komposer tanah air menghasilkan karya kreatif.
Perkara itu pernah diulas Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebelum ini yang berpendapat kewujudan AI memang wajar diraikan mengikut peredaran zaman, namun dalam masa sama tetap menjaga nilai asal sesebuah karya seni.
Siti menegaskan, penggiat muzik tidak sepatutnya bergantung sepenuhnya AI kerana baginya sentuhan emosi manusia lebih diperlukan bagi ‘menghidupkan’ sesebuah karya.
“Kemajuan teknologi seperti AI memang perlu diraikan tetapi penggunaannya biarlah sekadar menjadi alat bantuan.
“AI boleh diterima hanya sebagai alat sokongan teknikal tetapi selebihnya tetap harus menuang semua kehebatan daya kreativiti daripada seorang manusia,” katanya.
Jelasnya, penggunaan secara berlebihan juga boleh membuatkan daya kreativiti seseorang menjadi lemah.
“Kena ada sentuhan manusia, barulah minda terus berkembang. Kalau semua perkara diharapkan daripada AI, manusia akan menjadi lebih malas,” ujarnya.
Sementara itu, penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna pula tidak menggalakan pengkarya seni bergantung sepenuhnya kepada teknologi kerana baginya pengalaman hidup dan sentuhan kemanusiaan sukar untuk diraih dalam penghasilan sebuah karya seni.
“Saya sememangnya tidak galakkan orang bergantung kepada AI untuk menghasilkan karya. AI bukan untuk mengambil alih sepenuhnya proses kreatif dan kurang bersetuju kalau seseorang menggunakan suara AI sepenuhnya dengan mejadikannya sebuah lagu.
“Realitinya industri kini ramai artis, penulis lagu dan pengkarya berbakat besar yang mencari rezeki melalui bidang ini,” jelasnya.
Tambahnya, lagu hasil janaan AI tetap tidak mampu menandingi karya sentuhan manusia.
“Apabila AI hasilkan lagu itu, saya rasa bahasanya seperti terlalu ‘terdesak’ untuk menghasilkan sebuah lagu. AI tidak sama seperti proses manusia berkarya yang boleh berhenti seketika mencari ilham tukar perkataan, ubah melodi dan menuang rasa yang tepat,” katanya.














