fbpx
KEADAAN kereta suspek selepas merempuh sebuah Myvi di persimpangan lampu isyarat berhampiran bangunan MBMB, Melaka, malam tadi.

Khayal vape dadah ‘piu-piu’, lelaki rempuh kereta di lampu isyarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang lelaki ditahan polis selepas dikesan positif dadah sintetik atau ‘piu-piu’ yang diambil melalui rokok elektronik sehingga menyebabkan nahas di persimpangan lampu isyarat berhampiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, Toyota Vios dipandu suspek dari arah Bukit Beruang merempuh sebuah Perodua Myvi yang berhenti ketika lampu isyarat merah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, suspek berusia 26 tahun dan pemandu Myvi 24 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila suspek memandu secara cuai dan berada di bawah pengaruh dadah jenis sintetik atau ‘piu-piu’.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan rokok elektronik di kerusi kereta suspek selain pengakuan dibuat lelaki itu berhubung pengambilan dadah berkenaan melalui rokok elektronik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai tukang masak telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan hasil ujian saringan air kencing menunjukkan positif dadah jenis ketamin.

“Suspek turut dibawa ke Hospital Melaka bagi pengambilan sampel darah untuk tujuan ujian toksikologi.

“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 37 saat berkaitan nahas tersebut tular di media sosial yang memaparkan keadaan selepas kemalangan dengan orang awam dilihat mengerumuni lokasi kejadian.

Halim berkata, suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN