SEBERANG PERAI – Seorang lelaki tempatan cedera selepas dipercayai ditembak dalam satu kejadian di kawasan perniagaan Seri Tambun di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10 pagi.
“Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang mengalami kecederaan akibat terkena tembakan pada lengan kanan dan telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan.
“Siasatan di tempat kejadian telah dijalankan dan beberapa bahan bukti telah ditemui bagi membantu siasatan. Polis sedang meneliti semua sudut dalam siasatan kejadian ini,” katanya di sini, malam ini.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd. Rizal Abd Rashid ditalian 019-8282212 atau menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














