PORT DICKSON – Menyelesaikan masalah bekalan air yang berlarutan bertahun-tahun dan mengembalikan perkhidmatan bank ke Bukit Pelandok menjadi antara kejayaan terbesar penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Datuk Yew Boon Lye, sepanjang penggal lalu.
Beliau yang juga calon bagi Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi berkenaan untuk Pilihan Raya Negeri ke-16 berkata, isu gangguan bekalan air yang sebelum ini berlaku hampir setiap bulan, malah ada kalanya berlarutan sehingga seminggu, memberi kesan kepada penduduk dan peniaga di seluruh DUN berkenaan.
Katanya, keadaan itu turut menimbulkan kesulitan terutama apabila gangguan berlaku pada hujung minggu ketika ramai anak muda pulang ke kampung.
“Sejurus dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), antara perkara pertama yang saya usahakan ialah menyelesaikan isu bekalan air.
“Saya mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Sungai Linggi dan beberapa kali bertemu pihak pengurusan bekalan air bagi mencari penyelesaian.
“Selepas lebih setahun berusaha, masalah itu berjaya diatasi. Sejak itu, gangguan bekalan air yang kerap tidak lagi berlaku. Jika ada gangguan sekali-sekala, ia hanya disebabkan paip bocor atau dilanggar, bukannya masalah yang berulang seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada siri walkabout sempena kempen PRN Negeri Sembilan di Kampung Sawah di sini.
Menurutnya, penyelesaian itu memberi manfaat kepada kira-kira 15,000 penduduk di kawasan Chuah, Kampung Bukit Pelandok, Tanah Merah, Site A, Site C dan kawasan sekitarnya.

Boon Lye berkata, beliau turut memberi perhatian terhadap keperluan kemudahan perbankan selepas menerima banyak aduan penduduk mengenai ketiadaan bank di Bukit Pelandok sejak cawangan CIMB ditutup pada 2019.
Katanya, usaha membawa semula perkhidmatan perbankan mengambil masa lebih setahun menerusi permohonan kepada beberapa institusi kewangan selain mendapatkan sokongan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).
“Hasil usaha itu, BSN dan Agrobank memberi maklum balas positif, sebelum Agrobank membuka cawangan di Bukit Pelandok pada awal 2025,” katanya.
Beliau berkata, selain memberi tumpuan kepada aduan berkaitan infrastruktur, bantuan kepada warga emas turut disalurkan beberapa kali setiap tahun.
Katanya, masih terdapat beberapa perancangan pembangunan yang belum dapat dilaksanakan dan beliau berhasrat meneruskannya sekiranya diberi mandat sekali lagi.
“Masih banyak kerja yang perlu diselesaikan. Saya akan terus memberi tumpuan kepada isu rakyat dan meneruskan agenda pembangunan di DUN Chuah jika diberi peluang,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan 2023, Boon Lye memenangi kerusi DUN Chuah dengan majoriti besar iaitu 6,298 undi dalam pertembungan satu lawan satu menentang calon PN-Gerakan, Tan Jay Son.
Pada PRN kali ini, Boon Lye sekali lagi diberi amanah sebagai calon PH juga dalam pertembungan satu lawan satu menentang calon BN-MCA, Pau Jeou Ching.
Berdasarkan rekod semasa, DUN Chuah mempunyai seramai 15,129 pengundi berdaftar dengan pecahan kaum Cina sebanyak 53.4 peratus; Melayu (24.8 peratus) dan India (21.1 peratus).














