fbpx
Hidangan ayam penyet turut disediakan di kopitiam Hock Kee Heritage di Kuala Lumpur.

Kopitiam bersijil halal satukan cita rasa rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AROMA kopi yang baru dibancuh, bunyi sudu berlaga dengan cawan mencipta suasana yang cukup sinonim dengan sebuah kopitiam.

Bagi sebahagian masyarakat, kopitiam bukan sekadar tempat menjamu selera, malah menjadi ruang pertemuan yang merentas usia dan latar belakang.

Membawa semangat tersebut dalam pendekatan lebih moden, sebuah kopitiam Nanyang (kopitiam tradisional Cina), Hock Kee memperkenalkan rangkaian Hock Kee Heritage, kopitiam premium yang mengetengahkan pengalaman kopitiam Nanyang dengan gabungan elemen nostalgia dan cita rasa tempatan.

Susun atur ruang, pilihan makanan serta suasananya dirangka untuk mengekalkan identiti kedai kopi klasik dalam persekitaran yang lebih selesa dan kontemporari.

Label Hock Kee diasaskan pada 2018 dan mula berkembang menjadi kopitiam yang menyatukan rakyat, menerusi rangkaian Hock Kee Kopitiam.

Susulan kejayaan itu, Hock Kee kini memperkenalkan Hock Kee Heritage di pusat beli belah The Gardens, Kuala Lumpur sebagai usaha menjadikan pengalaman menjamu selera di sebuah kopitiam lebih mudah dinikmati oleh masyarakat berbilang kaum, termasuk pelanggan Muslim memandangkan jenama itu sudah memperoleh pensijilan halal.

Pengasas Hock Kee, Nick Ng berkata, matlamat utama Hock Kee adalah untuk menjadi kopitiam bersijil halal yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa rasa ragu.

“Halal sangat penting kerana sasaran saya adalah seluruh rakyat Malaysia.

“Saya mahu semua kaum boleh duduk semeja dan menikmati makanan Malaysia bersama-sama. Jika tidak halal, sukar untuk capai konsep ini,” ujarnya.

POLO bun yang dinikmati bersama bersama butter coffee.

Daripada menu sarapan hinggalah hidangan lebih mengenyangkan, Hock Kee Heritage menyajikan pelbagai pilihan yang dekat dengan selera rakyat Malaysia.

Antara menu wajib cuba ialah steamed chicken rice, salted egg yolk chicken rice, Hock Kee prawn noodle soup dan Hock Kee homemade Thai tofu yang menampilkan gabungan resipi klasik dengan sentuhan moden.

Bagi lebih memenuhi selera pengunjung, premis itu turut menyajikan juadah berupa ayam penyet yang cukup digemari rakyat Malaysia.

Selain hidangan utama, restoran itu turut dikenali dengan pilihan tart telur pelbagai perisa seperti matcha, durian, taro dan kari kentang yang menjadi antara menu pilihan pelanggan.

Tidak lengkap kunjungan ke sebuah kopitiam tanpa menikmati roti bakar yang menjadi identiti premis seumpamanya.

Antara yang popular ialah polo bun bersama Hock Kee coffee butter dan polo bun bersama pumpkin kaya butter yang dihidangkan ketika masih panas bagi memberikan tekstur rangup di luar dan lembut di dalam.

Bagi melengkapkan pengalaman menjamu selera, pelanggan juga boleh menikmati pelbagai pilihan minuman seperti kopi, teh dan minuman tradisional yang dibancuh segar.

Gabungan menu klasik serta suasana yang selesa menjadikan Hock Kee Heritage bukan sekadar destinasi menikmati makanan, malah ruang untuk mengeratkan hubungan bersama keluarga dan rakan-rakan sambil menghayati budaya kopitiam yang kini boleh dinikmati semua.

“Hock Kee Heritage bukan sekadar sebuah restoran tetapi destinasi yang mengajak orang ramai memperlahankan rentak kehidupan dan menghayati warisan Malaysia menerusi suasana yang elegan, hidangan eksklusif serta layanan yang mesra,” ujar Ng.

Hock Kee Heritage dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN