IPOH – Pilu hati seorang ibu apabila melihat jasad anak perempuannya yang ditemukan maut bersama seorang rakan di kawasan perumahan kosong di sebuah flat di Sungai Pari, Buntong di sini semalam.
Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Seela, 36, berkata, dia sukar menerima hakikat kehilangan anaknya itu kerana hanya beberapa jam sebelum kejadian, dia sendiri menghantar mangsa bersama rakannya ke sekolah pada pukul 1 petang.
Katanya, dia tidak mengetahui mengapa anaknya berada di lokasi kejadian kerana remaja itu tidak pernah ke kawasan berkenaan sebelum ini.
“Saya hantar mereka ke sekolah tadi tapi pada pukul 4.50 petang, saya terima panggilan telefon yang beritahu dia (mangsa) berada di sini (kawasan perumahan kosong).
“Saya sempat tengok keadaan dia, masih memakai baju PJ (pendidikan jasmani), pakaian sama seperti saya hantar ke sekolah tadi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Menurut Seela, anak kedua daripada tiga beradik itu bukan sahaja tidak menunjukkan perubahan sikap malah tidak pernah mengadu apa-apa masalah berkaitan sekolah.
“Anak saya memang pendiam sedikit tetapi sepanjang pengetahuan saya, semua hal sekolah dan pelajaran dia dalam keadaan baik.
“Selama ini, pergi dan balik sekolah, saya yang hantar dan jemput, setiap hari. Tak sangka perkara begini boleh berlaku terhadap anak saya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat dua remaja perempuan berusia 14 tahun oleh seorang pengawal keselamatan ketika melakukan rondaan di kawasan flat berkenaan.
Difahamkan, kedua-dua mangsa yang dipercayai terjatuh dari tingkat atas bangunan itu merupakan rakan baik dan bersekolah pada sesi petang.
Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin dalam kenyataannya berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan mayat kedua-dua mangsa di kawasan Flat Sungai Pari pada pukul 5 petang.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dipercayai meninggalkan kawasan sekolah secara sukarela sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.
“Setakat ini, siasatan tidak menemukan sebarang keterangan yang menunjukkan penglibatan mana-mana pihak lain dalam kejadian tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














