PETALING JAYA – Jaguh boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple enggan terlalu selesa dengan kemenangan pada aksi pembukaan Kumpulan D Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila mengakui cabaran sebenar bakal bermula ketika menentang wakil Malta, Shaun Parnis awal pagi esok.
Meskipun berjaya memulakan kempen dengan langkah kanan, Izzat sedar masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki sekiranya mahu meneruskan rentak positif dalam baki aksi peringkat kumpulan.
Katanya, kemenangan ke atas wakil Kepulauan Falkland semalam sekurang-kurangnya memberi peluang buatnya menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan selain membantu menghilangkan perasaan gementar yang dirasai sebelum turun beraksi.
“Syukur alhamdulillah untuk pembukaan yang agak baik, walaupun ada sedikit gemetar. Untuk perlawanan seterusnya, masih lagi banyak perlu dibaiki. Sebab dalam kumpulan saya ada lagi tiga pasukan yang agak sukar iaitu India, esok saya akan berjumpa Malta dan Kanada.
“Untuk hari ini saya rasa, bagus untuk saya untuk rasai suasana perlawanan. Jadi mungkin esok lebih yakin daripada hari ini,” katanya.
Atlet berusia 44 tahun itu berkata, fokus utamanya kini adalah memperkemaskan aspek teknikal terutama dari segi balingan yang terlalu pendek kerana kesilapan tersebut boleh memberi kelebihan kepada pihak lawan.
“Untuk saya esok, saya rasa mungkin bola yang pendek tu mungkin perlu dibaiki dengan kurangkan bola pendek. Sebab rugilah bola pendek tu tak membantu untuk saya mendapatkan mata.
“Jadi esok mungkin perlu lebihkan sedikit bola ke belakang dan lebih fokus pada draw,” ujarnya.
Izzat memulakan kempen Kumpulan D dengan kemenangan 2-0 ke atas Cecil Alexander dari Kepulauan Falkland hasil keputusan 10-3, 7-4, sekali gus menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.
Bagaimanapun, pertemuan menentang Malta awal pagi esok (00:50 waktu Malaysia) dijangka menjadi ujian lebih getir buat pemain negara itu sebelum melengkapkan baki aksi kumpulan bertemu India dan Kanada dalam usaha memburu slot ke pusingan kalah mati. KOSMO! ONLINE














