fbpx
Kumar.

Geng Vinod tumpas, 21 kes jenayah selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis berjaya menumpaskan kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Vinod yang aktif melakukan pelbagai jenayah kekerasan di sekitar Selangor sejak 2023.

Kejayaan itu dicapai menerusi Op Rapido yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Selangor pada 23 dan 24 Jun lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kumpulan tersebut diketuai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dengan keahlian seramai 17 individu berumur antara 20 hingga 34 tahun yang kebanyakannya merupakan penjenayah berulang.

Menurut beliau, kumpulan itu terlibat dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk rompakan berkumpulan, cubaan bunuh, merusuh dengan senjata, menyebabkan kecederaan menggunakan senjata serta khianat.

“Modus operandi kumpulan ini adalah melakukan samun bersenjatakan parang atau senjata tajam lain dengan menyasarkan premis kediaman selain melakukan pelbagai kesalahan serius bagi mendapatkan faedah material, kuasa atau pengaruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi khas itu, seramai 11 suspek warga tempatan berusia antara 21 hingga 34 tahun diberkas dan kesemua suspek kini direman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) hingga esok.

“PDRM turut mengenal pasti identiti lima lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

“Semua yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk cubaan bunuh, rompakan berkumpulan, khianat, mendatangkan kecederaan dengan senjata, pecah rumah, ugutan jenayah, pemerasan, merusuh dengan senjata serta pelbagai kesalahan dadah termasuk pengedaran,” katanya.

Menurut beliau, penahanan ahli kumpulan terbabit membolehkan polis menyelesaikan 21 kes jenayah selain melumpuhkan satu sindiket rompakan berkumpulan bersenjata yang aktif di Selangor.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

Pada 17 Julai lalu, kertas siasatan telah dirujuk kepada Unit Jenayah Berat (UJB), Jabatan Peguam Negara dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan telah diperoleh terhadap kesemua 11 suspek.

Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor pada pukul 9.30 pagi esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN