PETALING JAYA – Tindakan pemilik sebuah bengkel menjadikan kawasan kampung sebagai tempat meletakkan kenderaan rosak dan tersadai di tepi jalan telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk.
Ini kerana dakwa penduduk, laluan di kawasan berkenaan menjadi sempit sehingga mereka terpaksa menggunakan laluan lain untuk keluar masuk ke kampung berkenaan.
Menerusi perkongsian di apliaksi Threads, seorang pengguna dikenali sebagai Panglimahitamanis mendakwa, bengkel tersebut berada di sebuah kampung di sekitar Selayang Baru.
Dia yang juga penduduk kampung itu berkata, kawasan kampung berkenaan kini seperti sebuah kawasan perindustrian.
“Mohon Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan pihak berwajib mengambil tindakan. Dah jadi macam kawasan perindustrian pulak kampung Melayu ni.
“Kereta bengkel bawa balik kampung. Kereta tersadai, lori, ‘towing’, ‘carrier’ banyak hingga menganggu penduduk lain nak parking pun kena halau,”dakwa individu tersebut.
Lebih membimbangkan katanya, premis tersebut seolah-olah kebal meskipun penduduk pernah membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan sebelum ini.
“Dah buat report (laporan) dengan MPS pun sama sahaja,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE














