KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk menghentikan sebarang pendaftaran pelarian ketika ini bagi membolehkan proses menyusun semula program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, arahan tersebut dibuat selepas keputusan Kabinet dan pada masa ini, terdapat tiga penyelesaian jangka panjang bagi pelarian berkenaan.
“Ini melalui repatriasi apabila negara asal terbukti selamat iaitu Myanmar, penempatan semula ke negara ketiga dengan kerjasama organisasi antarabangsa dan juga pemindahan ataupun pengusiran, tindakan mandatori akibat pelanggaran undang-undang tempatan.
“Disebabkan itulah kad DPP sangat penting di mana kita tidak ingin melihat bahawa pelarian khususnya Rohingya menyalahgunakan kad UNHCR sedia ada. Walaupun demikian, pendaftaran DPP ini melalui proses sangat ketat,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Senator Hussin Ismail berhubung langkah kerajaan bagi penghantaran semula pelarian Rohingya yang tidak mempunyai kerakyatan di Myanmar.
Lukanisman berkata, bilangan pelarian Rohingya agak besar di negara ini sekali gus memerlukan libat urus oleh agensi dan kementerian termasuk yang mempunyai kuasa penguatkuasaan bagi menghalang kemasukannya pada masa akan datang.
“Memandangkan kita telah mempunyai satu proses agak besar untuk mengkategorikan dan memberikan status pelarian kepada mereka ini, justeru kita sering mengadakan proses kerjasama berterusan.
“Menteri juga telah memaklumkan bahawa lebih kurang 5,000 warga negara Myanmar sedang ditahan di depot buat masa ini akan dihantar pulang kepada pihak kerajaan Myanmar.
“Bagaimanapun, dalam sesi perbincangan tersebut, kerajaan Myanmar juga telah memaklumkan kesediaan untuk menerima pulang warga negaranya menggunakan kapal tentera laut tertakluk kepada proses penyelesaian,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, melalui pendekatan multilateral, Malaysia memberi tekanan kepada pihak kerajaan Myanmar supaya melihat isu berkenaan serta mendengar rakan-rakan di peringkat serantau khususnya negara ASEAN.
“Kita tidak mahu membebankan Malaysia kerana kita bukan penanda tangan konvensyen dan rakyat ketika ini sudah mula rasa terbeban dengan isu-isu pengurusan masyarakat Rohingya ketika ini.
“Saya mengharapkan agar yang berhormat senator dapat meneruskan sesi libat urus bersama dengan kementerian-kementerian termasuk Kementerian Luar untuk melihat dan juga mencari kaedah bagaimana untuk kita mempercepatkan proses penghantaran ataupun repatriasi warga negara Myanmar ditahan di depot dan juga negara-negara pelarian Rohingya sedia ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE














