fbpx
Ikan yang menjadi ‘trofi’ selama penulis berkecimpung dalam arena slow pitch jigging.

Bertemu jenahak ‘trofi’ di Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Seawal pukul 6 pagi, saya sudah memulakan perjalanan membelah kedinginan subuh menuju ke pengkalan bot di pekan lama Port Dickson, Negeri Sembilan.

Trip kali ini disertai oleh rakan-rakan sekepala dan adik saya. Di atas bot, kami dibimbing oleh seorang tekong prolifik tempatan iaitu Azrin Mohd. atau lebih mesra disapa dengan panggilan, Abang Cat.

Namun, langit tidak sentiasa cerah, sebaik sahaja melepasi sempadan Selangor, kami dihidangkan dengan gumpalan awan mendung yang tebal dan gelap. Hati mula dipalit rasa gusar.

Adakah trip yang dirancang berbulan-bulan ini terpaksa ditangguhkan?

Usai melamun melayan keresahan, tiba-tiba telefon bimbit saya bergetar. Satu notifikasi masuk: “Trip on, kita tunggu lepas hujan”, tulis Abang Cat. Ia umpama satu talian hayat yang mengembalikan semula keterujaan kami.

Sebaik sampai ke jeti pada pukul 8 pagi, kami mula memunggah naik segala barangan ke dalam bot.

Sementara menunggu hujan berhenti, kami sempat mempersiapkan kelengkapan memancing bersesuaian untuk penggunaan jig yang berat berikutan kedalaman dasar lebih kurang 50 hingga 60 meter (m) dengan keadaan arus kuat pada hari tersebut.

‘Tarian’ pertama
Bot akhirnya bergerak pada pukul 9:30 pagi, walaupun agak terlewat daripada jadual asal, kami tetap bersyukur kerana trip ini tidak dibatalkan terus.

Dalam tempoh 30 minit, kami tiba di lubuk pertama.

Ketika jig saya baru sahaja meluncur melintasi pertengahan air, satu sentakan padu dikesan.

Rupa-rupanya, sekumpulan ikan alu-alu sedang menanti. Ini sebenarnya satu petanda yang sangat baik.

Ia membuktikan bahawa ikan di lubuk tersebut berada dalam keadaan aktif dan sangat agresif terhadap ‘tarian’ jig yang dimainkan oleh kami.

Suasana di atas bot mula gamat, di sekeliling bot air berkocak di serang spesies pelagik yang rakus ini.

Ada pemancing yang kempunan kerana suapan jig terlepas sasaran, ada yang terduduk melihat perambut putus dikerjakan gigi tajam ikan pemangsa tersebut.

Tidak kurang juga yang tersenyum lebar berjaya menaikkan ikan.

Tersenyum melihat gelagat kami, Abang Cat sempat berseloroh, “Kena selak alu-alu dahulu, baru jumpa sisik,” ujarnya.

Maksudnya, kami perlu bersabar dengan gangguan kumpulan ikan alu-alu di pertengahan air itu, sebelum jig mampu mencecah dasar untuk memujuk ikan gred A seperti jenahak atau kerapu.

Sepanjang sesi pagi, asakan demi asakan daripada spesies ikan pelagik seperti alu-alu dan talang hingga tidak menang tangan kami dibuatnya. Jam mula merangkak ke angka 12 tengah hari.

Arus laut yang tadinya laju mula menjadi perlahan, menandakan waktu air pasang penuh hampir tamat. Kebiasaannya ikan akan menjadi kurang aktif, namun jangkaan kami meleset kerana asakan ikan pelagik masih meriah.

Muncul ‘trofi’
Tiba-tiba, sewaktu saya melakukan henjutan slow pitch, satu ragutan yang luar biasa kuatnya telah menerkam jig.

Di awal pertarungan, saya menjangkakan ia mungkin seekor ikan alu-alu bersaiz besar.

Ini kerana, tali tiba-tiba menjadi kendur secara mendadak, menandakan ikan tersebut sedang memecut laju menuju ke permukaan air.

Namun, naluri saya berkata lain kerana tekanan daripada ikan terasa sangat berbeza. Ia adalah asakan padu yang tidak pernah saya rasakan selama ini.

Dalam situasi cemas itu, saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada set pancing yang digunakan. Joran Beat Propagate BLX BOTH berkuasa tinggi (Power 4), dipadankan dengan kekili Shimano Ocea Jigger F Custom.

Close-up jenahak bantal dengan jig dan peralatan yang penulis gunakan untuk menaikkan ikan ini.

Gelendung kekili pula dipenuhi tali Penn Slammer 25 paun (lb) dan disambung perambut fluorocarbon Sunline FC 40lb. Set ini memberikan saya keyakinan penuh untuk mengunci ketat drag tanpa rasa ragu-ragu joran akan patah atau tali akan terputus.

Pertarungan sengit di atas dek berlangsung selama beberapa minit terasa bagai berjam-jam.

Akhirnya, satu kelibat bayangan jingga kemerahan mula muncul daripada kegelapan air laut.

Seekor ikan jenahak saiz kasar berjaya ditangguk ke atas bot. Ikan dengan anggaran saiz sekitar empat kilogram itu merupakan ikan laut terbesar yang pernah saya daratkan sepanjang saya bergelar pemancing.

Penangannya sungguh luar biasa sehinggakan sebaik sahaja ikan diletakkan di atas lantai bot, saya sedar lutut saya sedang terketar-ketar menahan debaran, manakala jantung berdegup kencang bagai mahu luruh.

Memasuki sesi petang, rezeki kami tidak putus. ‘Terbakar’ dengan kejayaan saya menundukkan sang ‘trofi’, rakan-rakan lain mula memperkemaskan ritma tarian jig masing-masing.

Giliran mereka pula menuai hasil dengan tambahan beberapa ekor lagi ikan jenahak dan spesies ikan dasar lain.

Namun, keseronokan tersebut tidak berpanjangan, atas faktor
keselamatan, Abang Cat memutuskan hanya berlegar di kawasan berdekatan darat berikutan langit kembali gelap kehitaman.

‘Tragedi’ air surut

Naluri kami sebagai pemancing semestinya mahu meneruskan sesi memancing, namun alam mempunyai garis panduannya sendiri.

Tepat pukul 5 petang, langit semakin gelap dan tekong menga­rahkan kami berkemas.

Bot memecut pulang membelah gelombang, tetapi cabaran sebenar trip ini rupanya belum berakhir.

Setibanya kami di pengkalan, alangkah terkejutnya apabila mendapati air laut telah surut habis.

Enjin bot terpaksa dimatikan awal demi mengelakkan kipas bot tersangkut pada beting pasir. Jeti yang tadi pagi dipenuhi air, kini bertukar menjadi kawasan cetek dan kering.

Kami tiada pilihan lain, terpaksa turun ke dalam air yang parasnya mencecah paha meranduk selut pantai untuk ke darat.

Setiap langkah terasa amat berat apabila kaki terbenam ke dalam lumpur, ditambah pula dengan bebanan memikul tong ikan yang sarat dengan hasil tangkapan, kotak dan set pancing.

Namun, itu semua sebahagian daripada pengalaman memancing, janji hati puas dengan hasil tangkapan yang lumayan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN