KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu tadbir Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang cedera dalam nahas bot karam sewaktu mencandat sotong di perairan Kuala Nerus dekat sini pada awal bulan ini layak menerima manfaat skim Lindung 24 Jam dilancarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) baru-baru ini.
Jurucakap Perkeso Terengganu berkata, Muhammad Farris Zakwan Mohd. Ibrahim, 33, yang berasal dari Kuala Lumpur menerima manfaat skim tersebut berjumlah keseluruhan RM1,368.
“Ia merangkumi faedah perubatan dan faedah hilang upaya sementara sebagai ganti pendapatan bagi tempoh cuti sakitnya pada 4 Julai hingga 21 Julai lalu (semalam).
“Pencarum (Muhammad Farris Zakwan) juga layak menerima rawatan fisioterapi berterusan bagi pemulihan tangan yang cedera akibat kemalangan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu Muhammad Farris Zakwan yang merupakan salah seorang daripada 10 pemancing mengikuti trip mencandat sotong di dalam bot karam tersebut hadir menerima manfaat tersebut di Pejabat Perkeso Terengganu di sini.
Kosmo! Ahad 5 Julai lalu melaporkan melaporkan bot milik Mohd. Awais Sa’ari, 40, karam sewaktu membawa 10 pemancing termasuk Muhammad Farris Zakwan untuk mencandat sotong di perairan Kuala Nerus dekat sini.
Insiden pada pukul 8.40 malam itu mengorbankan Ahmad Nasaruddin Mohd. Jalil, 37, yang bertugas sebagai kru bot sambilan.
Jurucakap Perkeso Terengganu berkata, kos rawatan fisioterapi berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh agensi tersebut. – KOSMO! ONLINE














