fbpx
Suakdron Bravo 69 Komando muncul juara dalam Ujian Rentas Halangan KDNKA yang berlangsung di Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

Skuadron Bravo 69 Komando pertahan kejuaraan rentas halangan KDNKA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Skuadron Bravo, 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas (PGK) Ulu Kinta, Perak mempertahankan kejuaraan kategori berpasukan Ujian Rentas Halangan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) 2026, sekali gus melakar kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.

Komander Skuadron Bravo, Deputi Superintendan Wan Nurisham Wan Isa berkata, kejayaan itu hasil latihan intensif selama 56 hari yang memberi tumpuan kepada peningkatan stamina, ketahanan fizikal serta keupayaan anggota menghadapi cabaran di laluan pertandingan.

Menurut beliau, keadaan cuaca hujan pada hari pertandingan menjadi cabaran utama apabila pasukannya terpaksa mengubah strategi yang dirancang.

“Cabaran utama pertandingan ini ialah cuaca. Sepanjang latihan, kami lebih banyak berlatih dalam keadaan kering pada waktu pagi, tengah hari, petang dan lewat petang.

“Kami tidak menjangka hujan turun pada pagi pertandingan sehingga memaksa kami mengubah strategi, namun Alhamdulillah kami berjaya mengekalkan kejuaraan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan KDNKA 2026 di Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras di sini hari ini.

Beliau berkata, pasukannya juga akan terus melahirkan pelapis baharu bagi memastikan kejuaraan itu dapat dikekalkan pada edisi akan datang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pertandingan tahunan yang berlangsung selama empat hari bermula 19 Julai lalu melibatkan 20 pasukan dengan penyertaan 320 pegawai dan anggota daripada pelbagai formasi di bawah KDNKA.

Katanya, peserta mengharungi 14 pusat pemeriksaan (checkpoint) yang menguji kecergasan fizikal, ketahanan mental, kemahiran taktikal, kebolehan membuat keputusan di bawah tekanan serta keupayaan bekerja secara berpasukan.

“Pertandingan yang menjadi tradisi Jabatan KDNKA sejak puluhan tahun lalu ini bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan operasi dan profesionalisme pegawai serta anggota dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam.

“Penyertaan turut melibatkan pelbagai elemen KDNKA termasuk Unit Tindakan Khas (UTK), 69 Komando dan batalion Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya.

Mengulas keputusan pertandingan, Mohd. Yusri berkata, penguasaan unit elit seperti UTK dan 69 Komando sememangnya dijangka, namun pencapaian itu turut menjadi pemangkin kepada formasi lain untuk terus meningkatkan keupayaan masing-masing.

“Keputusan acara individu yang dimenangi anggota dari Briged Sabah, diikuti 69 Komando dan UTK menunjukkan keupayaan anggota di seluruh KDNKA adalah setanding, bergantung kepada tahap persediaan dan latihan masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN