PARIS – Bekas juara dunia MotoGP, Fabio Quartararo bakal memikul tanggungjawab besar untuk mengembalikan kegemilangan Honda apabila sah menyertai pasukan pengeluar Jepun itu bagi musim 2027 dan 2028.
Pengumuman dibuat Honda Racing Corporation (HRC) menyaksikan pelumba Perancis berusia 27 tahun itu menamatkan khidmat selama lapan musim bersama Yamaha untuk membuka lembaran baharu menjelang pengenalan era enjin 850cc bermula musim depan.
Perubahan peraturan teknikal MotoGP yang menyaksikan kapasiti enjin dikurangkan daripada 1,000cc kepada 850cc dijangka mengubah landskap persaingan, sekali gus memberi peluang kepada Honda untuk kembali mencabar pasukan-pasukan utama.
“Honda Racing Corporation (HRC) dengan sukacitanya mengumumkan Fabio Quartararo menandatangani kontrak bagi musim Kejuaraan Dunia MotoGP 2027 dan 2028.
“Quartararo akan mewakili pasukan kilang Honda HRC ketika MotoGP memasuki era baharu 850cc bermula 2027,” menurut kenyataan HRC.
Honda yang bergelut sejak pemergian juara dunia enam kali, Marc Marquez ke Ducati pada 2024, berharap pengalaman serta kemampuan Quartararo mampu mempercepatkan proses kebangkitan pasukan itu selepas beberapa musim hambar.
Quartararo mencipta sensasi apabila muncul juara dunia MotoGP pada 2021, sekali gus menjadi pelumba Perancis pertama menjuarai kelas premier sebelum menamatkan saingan sebagai naib juara dunia semusim kemudian.
Bagaimanapun, prestasinya merosot sejak itu apabila kali terakhir meraih kemenangan perlumbaan adalah pada musim 2022, selain hanya menamatkan saingan di kedudukan ke-10, ke-13 dan kesembilan keseluruhan dalam tiga musim terakhir.
Dalam perkembangan sama, HRC turut mengesahkan juara dunia Moto3 2024 dari Colombia, David Alonso, menandatangani kontrak jangka panjang, namun belum memutuskan sama ada pelumba berusia 20 tahun itu akan menyertai pasukan kilang Honda atau skuad satelit LCR musim depan. KOSMO! ONLINE














