SINGAPURA – Seorang lelaki terkejut menemukan seekor anak lipas dalam nasi goreng yang dibeli dari sebuah restoran di Singapura, lapor portal berita Must Share News.
Lelaki dikenali sebagai Qamar, 40, berkata, penemuan itu berlaku sekitar pukul 7.24 malam, baru-baru ini.
“Saya memesan tiga bungkus nasi goreng kerang dari restoran Yassin Kampung melalui platform penghantaran makanan, GrabFood,” kata Qamar.
Dia bagaimanapun terkejut apabila menemui bangkai anak lipas dalam nasi gorengnya.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @taksunattakape menunjukkan anak lipas yang kehilangan separa badan, manakala kepala dan kakinya masih utuh.
Lebih mengejutkan, penemuan itu dibuat selepas dia makan separuh nasi gorengnya.
Rakaman tersebut mencatatkan lebih 58,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Protein sebenar,” kata seorang netizen.
“Saya tidak akan pergi ke restoran itu!” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














