fbpx
AMIR tak peduli dengan pandangan negatif orang ramai tentang sukan Hyrox. - Foto IQBAL ROSLI

Hyrox: ‘Saya memang atlet sejak kecil’ – Amir Ahnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelakon Amir Ahnaf membidas sikap segelintir netizen yang sewenang-wenangnya mengecam hobi atau minat individu yang aktif dalam sukan lasak Hyrox.

Amir atau nama penuhnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin, 26, berharap orang ramai tidak cepat mengkritik minat seseorang dan menghormati pilihan gaya hidup masing-masing.

“Saya tak tahu nak cakap macam mana lagi. Kalau nak bersukan, pergilah bersukan, terpulanglah kalau seseorang itu pandai bersukan.

“Tetapi kalau orang itu suka makan aiskrim, biarlah dia makan. Kenapa perlu kecam dia?

“Begitu juga kalau dia suka makan roti canai di kedai mamak, malah kalau dia mahu makan Nobu (restoran Jepun) atau makanan yang mahal sekalipun — itu suka hati dialah. Tidak menggunakan duit awak pun,” katanya kepada Kosmo! Online pada pada tayangan perdana What’s Next On Viu Cinta Dalam Sekam, baru-baru ini.

Bercerita mengenai peralihan minat sukan lasaknya, pelakon drama Projek: High Council itu mengakui impak fizikal sukan ragbi terlalu tinggi dan berisiko sehingga mampu memberi kesan terhadap dirinya.

“Sukan tetap sukan, mungkin kalau menepati minat awak, gerak saja. Saya nak main ragbi dah tak boleh sebab takut cedera atau patah tangan.

“Kalau nak jadi pemain ragbi, badan awak mestilah terbiasa dengan aksi lasak. Jadi kita ambil inisiatif lain dengan masuk Hyrox.

“Hyrox tak ada risiko, hanyalah pergerakan fungsian yang mudah. Macam ‘lunges’, kita hari-hari bangun dari kerusi atau katil.

“Cuma perbezaannya kita buat setelah berlari satu kilo setiap satu sesi,” ujarnya.

Disoal mengenai sumber kekuatan dalam menyertai Hyrox, Amir mendedahkan dirinya sememangnya seorang atlet yang aktif sejak di bangku sekolah lagi.

“Kekuatan itu saya dapat daripada darah orang Terengganu, gurau saja. Sebenarnya dulu saya main ragi untuk pasukan Terengganu dan dipilih sertai Sukma serta mewakili Malaysia.

“Saya sebenarnya memang seorang atlet dari kecil lagi. Saya masuk Hyrox pun sebab saya dah penat sakit selama bertahun-tahun jadi saya rasa saya berhak untuk jadi sihat,” ulasnya.

Sebelum ini, Amir menyertai acara Hyrox Singapura dan berjaya menamatkan saingan dengan catatan masa 1 jam 38 minit 59 saat.

Selain Amir, beberapa bintang terkenal tempatan seperti Hairul Azreen, Ikmal Amry, Adriana Adnan, Hawa Rizwana, Aedy Ashraf dan Meerqeen turut sama menyertai sukan tersebut.

Namun, ada segelintir pihak yang kurang senang dengan sukan tersebut sehingga melabel sebagai sukan T20 (mahal) dan diibaratkan sebagai sukaneka sekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN