fbpx
SARA bersama koleksi rekaan yang cukup memukau.

Kemewahan visual siluet berstruktur adibusana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

FESYEN Malaysia mempunyai potensi besar untuk berdiri sebaris dengan jenama artisan antarabangsa.

Dalam dunia fesyen yang sentiasa berubah, setiap koleksi yang dihasilkan pereka tempatan mempunyai naratif tersendiri yang membentuk identiti dan keunikan koleksi mereka.

Bagi pereka muda, Sara Alysha, jenama Arraly Atelier menjadi medium untuk menterjemahkan idea kreatif yang menggabungkan nilai seni, ketelitian pertukangan dan ekspresi emosi dalam setiap helaian busana. 

Menerusi koleksi terbaharunya, Sara menampilkan interpretasi adibusana kontemporari yang bukan sekadar menitikberatkan aspek estetik, malah mengajak pencinta fesyen menghayati keindahan yang lahir daripada ketidaksempurnaan alam dan kehidupan. Adibusana merujuk kepada busana dengan nilai seni, kreativiti dan tahap pertukangan tinggi atau haute couture.

Menurutnya, falsafah yang menjadi tunjang koleksi ini jelas dipaparkan melalui konsep Artisanal Couture: The Art of Decaying iaitu satu eksplorasi tentang perubahan semula jadi, tekstur organik dan keindahan yang muncul apabila sesuatu melalui proses pereputan serta transformasi. 

“Inspirasi tersebut diterjemahkan kepada siluet dramatik, permainan struktur yang unik dan penggunaan tekstur fabrik yang mencipta dimensi visual berbeza. 

“Pendekatan ini membuktikan bahawa fesyen bukan sekadar pakaian, tetapi karya seni yang mampu menyampaikan cerita serta emosi,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, Arraly Atelier beraspirasi menjadi jenama fesyen artisan yang meraikan kemahiran pertukangan, perincian teliti dan keindahan buatan tangan. 

FABRIK yang digunakan premium dan menghasilkan efek seakan-akan permukaan semula jadi.

Seiring visi itu, setiap rekaan dihasilkan bagi memberi keseimbangan antara nilai artistik dan kebolehgunaan sekali gus memenuhi keperluan wanita moden yang menghargai identiti, kreativiti dan eksklusiviti. 

Setiap helaian direka agar menyerlahkan karakter pemakai tanpa mengorbankan keselesaan mahupun fungsi.

Kongsinya lagi, keunikan koleksi ini turut terserlah melalui pemilihan material premium yang menjadi asas kepada pembinaan setiap busana. 

“Saya menggabungkan fabrik seperti jacquard bermotif dua muka, habutai hitam serta fabrik bertekstur yang menghasilkan efek seakan-akan permukaan semula jadi. 

“Gabungan tersebut diperkaya dengan kemasan mutiara, butang berinspirasikan cengkerang dan sulaman halus yang meningkatkan nilai eksklusif setiap rekaan,” ujarnya.

Katanya lagi, elemen tekstur ini memberikan ilusi visual yang kaya, sekali gus menjadikan setiap busana mempunyai identiti tersendiri apabila dipandang dari pelbagai sudut.

Dari segi reka bentuk, koleksi Arraly Atelier menampilkan siluet berstruktur dengan bahagian bahu yang tegas, lengan berisipadu serta potongan pinggang yang menyerlahkan bentuk feminin. 

KEMASAN mutiara menyerlahkan lagi koleksi.

Pada masa sama, elemen dramatik diterapkan menerusi skirt bersaiz besar, lipatan seni, teknik quilting dan perincian tiga dimensi yang menyerupai bentuk organik di alam semula jadi. 

Gabungan struktur klasik dengan sentuhan moden menghasilkan rekaan yang sofistikated dan berani, sesuai untuk wanita yang ingin tampil elegan tanpa mengabaikan elemen artistik.

Jelas Sara, proses pembangunan koleksi ini turut memperlihatkan disiplin kreatif yang tinggi. Bermula daripada lakaran awal, pembinaan mood board, pemilihan fabrik, penghasilan prototaip sehingga ke proses penyempurnaan, setiap langkah dilakukan secara teliti bagi memastikan hasil akhir menepati visi yang ingin disampaikan. 

Perjalanan kreatif ini membuktikan bahawa menghasilkan adibusana memerlukan gabungan kemahiran teknikal, penelitian terhadap material dan kepekaan terhadap nilai estetika.

“Selain menampilkan kemewahan visual, koleksi ini juga membawa mesej bahawa kecantikan tidak semestinya hadir dalam bentuk yang sempurna. 

“Sebaliknya, tekstur yang tidak sekata, motif yang diinspirasikan daripada proses pereputan serta elemen organik menjadi simbol bahawa perubahan adalah sebahagian daripada kehidupan,” tambahnya.

Ujarnya lagi, pendekatan ini memberikan dimensi baharu kepada dunia fesyen tempatan, sekali gus memperlihatkan keberanian Sara mengangkat tema yang jarang diterokai dalam rekaan adibusana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN