fbpx
Helang peregrine

5 burung terpantas dunia, lagi laju daripada cheetah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KELAJUAN merupakan salah satu penyesuaian alam semula jadi yang paling mengagumkan. Ia membantu haiwan memburu, melarikan diri daripada pemangsa, berhijrah dan banyak lagi.

Menariknya, dalam semua haiwan yang ada di dunia ini, terdapat beberapa spesies burung yang mempunyai kelajuan luar biasa, mengalahkan haiwan-haiwan yang terkenal dengan kelajuan termasuk cheetah (120 kilometer sejam).

Sehubungan itu, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima burung paling pantas di dunia yang juga sebenarnya mendominasi carta sebagai lima haiwan mempunyai pergerakan paling pantas di dunia mengatasi semua haiwan daratan dan air seperti yang dilaporkan oleh laman ifaw.org.

1- Helang peregrine – 320 km/j

DI kedudukan pertama ialah helang peregrine (Falco peregrinus). Burung ini terdapat di seluruh dunia kecuali Antartika. Helang peregrine adalah burung terpantas dan haiwan terpantas di bumi hari ini. Ia mencapai kelajuan tertinggi ketika terjun menjunam (diving) semasa terbang.

Burung pemangsa ini mempunyai berat 530 hingga 1,600 gram dengan panjang purata 36 hingga 49 sentimeter. Ia mencari mangsa sambil terbang tinggi di udara.

Apabila burung ini menemui mangsa, ia akan terbang menjunam pada sasaran, mencapai kelajuan lebih 320 kilometer sejam. Kepantasan itu menjadikannya pemburu yang sangat berjaya dan cekap. Burung ini bagaimanapun tidak dianggap sebagai burung terancam atau diketegorikan tidak terlalu dibimbangi kepupusan kerana keluasan populasinya.

2- Helang emas – 240km/j

Kedua ialah golden eagles atau helang emas (Aquila chrysaetos) ialah burung pemangsa besar yang hidup di seluruh Hemisfera Utara. Ia ditemui di negara-negara termasuk United Kingdom, Kanada, Amerika Syarikat, Rusia, Norway dan China.

Seperti burung helang peregrine, helang emas ialah penyelam hebat yang menjunam ke arah mangsanya pada kelajuan tertinggi lebih 240 kilometer sejam, menjadikan ia haiwan kedua terpantas di dunia.
Selain menangkap makanan, kelajuan ini juga membantu helang emas melarikan diri daripada bahaya.

3-Layang-layang ekor jarum – 168km/j

SETERUSNYA, burung white-throated needletails atau layang-layang ekor jarum tekak putih (Hirundapus caudacutus) ialah sejenis burung dalam keluarga burung pantas yang hidup di beberapa bahagian Asia dan Oceania.

Layang-layang ekor jarum boleh mencapai kelajuan sehingga 168 kilometer sejam. Kelajuan ini membantu burung ini bergerak jarak jauh untuk tujuan migrasi dan menangkap mangsa kegemaran seperti serangga.
Tidak seperti helang, burung layang-layang ini mencapai kelajuan tertinggi semasa penerbangan rata, bukannya semasa menjunam.

4- Hobi Eurasia – 160km/j

HOBI Eurasia (Falco subbuteo) ialah spesies helang yang hidup di sebahagian besar Eropah, Asia dan Afrika. Ini merupakan satu lagi burung yang menjunam atau terjun untuk menangkap mangsanya termasuk serangga besar dan burung yang lebih kecil.

Apabila ia menjunam, burung ini boleh mencapai kelajuan sehingga 160 kilometer sejam, kelajuan yang sangat pantas untuk menyambar mangsa dari udara. Terdapat sebanyak 1.5 juta burung hobi Eurasia dewasa di dunia. Walaupun spesies ini disenaraikan sebagai paling kurang membimbangkan oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), terdapat juga tanda-tanda trend populasi yang semakin berkurangan.

5- Angsa bersayap taji- 142km/j

KELIMA ialah spur-winged geese atau angsa bersayap taji (Plectropterus gambensis), seekor burung air yang hidup di sub-Sahara Afrika. Angsa besar ini berukuran 75 hingga 115 sentimeter panjang dan beratnya empat hingga tujuh kilogram.

Kelajuan maksimum angsa ini ketika terbang ialah 142 kilometer sejam, biasanya digunakan untuk melarikan diri daripada pemangsa dan berhijrah jarak jauh. Ia dianggap spesies unggas air yang terbang paling pantas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN