NEW YORK – Bekas penjaga gol Real Madrid, Keylor Navas membuat keputusan untuk memilih Argentina sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia 2026.
Walaupun menganggap peluang agak seimbang buat Argentina dan Sepanyol, legenda Costa Rica itu kekal dengan pendiriannya dan merasakan La Albiceleste memiliki kelebihan tersendiri untuk pertahankan kejuaraan.
Navas yang pernah bermain tiga kali di Piala Dunia dan memenangi pelbagai kejuaraan bersama Los Blancos merasakan perlawanan kali ini tidak sekadar bersandarkan kepada taktikal yang bakal direncanakan oleh jurulatih kedua-dua pasukan.
Sebaliknya penjaga gol itu merasakan faktor kualiti individu juga akan menghadirkan titik penentuan, dimana Argentina pastinya bersandarkan kepada magis Lionel Messi.
“Dalam perlawanan akhir yang seimbang seperti ini, agak sukar untuk saya memilih pasukan pilihan kerana kedua-dua negara sudah pun tampil dengan aksi luar biasa sepanjang perjalanan Piala Dunia kali ini.
“Bagaimanapun, jika saya terpaksa membuat pilihan pasukan mana yang lebih layak untuk menang, saya akan memilik Argentina kerana mereka memiliki Messi,” katanya.
Bagi Navas, pemilihan dan faktor Messi tidak hanya bersandarkan kepada reputasi sebaliknya ia bersandarkan kepada pengalamannya ketika bermain di Sepanyol.
Rekod dalam perlawanan lepas menunjukkan yang kapten Argentina itu sudah terbukti mampu menjadi menghadirkan perbezaan dan menghasilkan titik penentu dalam satu-satu perlawanan.
Penjaga gol veteran itu akui kesukaran yang dilalui pada perlawanan lepas menjadikan kedua-dua pasukan makin matang dan Argentina sentiasa mencipta cerita kebangkitan luar biasa dalam misinya pertahankan kejuaraan.
“Kedua-dua pasukan sudah melalui tempoh menyakitkan, Sepayol tidak memulakan kempen dengan baik. Argentina pula sering menyerlahkan kebangkitan, jadi semua itu menyerlahkan karakter dan tahap kompetitif kedua-dua pasukan,” katanya.
Sementara itu, bekas penjaga gol England, Paul Robinson melabel Messi sebagai pakar silap mata yang akan memacu kejayaan Argentina pada detik penentuan kali ini.
“Dia sudah pun melakukan segala-galanya pada penyertaan kali ini. Lihat saja kepada jaringan dan apa yang dia lakukan ketika menentang England,” katanya. – AGENSI














