NEW YORK – Pentas final Piala Dunia 2026 bakal menyaksikan saingan buku bertemu ruas apabila pengendali Argentina, Lionel Scaloni akan membuat percaturan dengan jurulatih Sepanyol, Luis De La Fuente dalam usaha melakar sejarah buat negara masing-masing.
Sepanyol mahu menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua selepas kejayaan pada 2010, manakala Argentina berpeluang menjadi negara pertama mempertahankan kejuaraan sejak Brazil melakukannya pada 1962.
Namun, tumpuan turut terarah kepada hubungan akrab Scaloni bersama De La Fuente yang pernah menjadi tenaga pengajar ketika mengambil kursus lesen kejurulatihan di Las Rozas, Sepanyol sebelum ini.
Lebih menarik, Scaloni turut menyatakan sebahagian daripada jiwanya adalah Sepanyol kerana memiliki isteri dari negara tersebut Elisa Montero selain dua anak yang lahir di sana.
Beliau juga sebelum ini menghabiskan masa beberapa tahun di Sepanyol ketika kariernya sebagai pemain apabila menyertai pasukan Deportivo La Coruna, Racing Santander dan Mallorca.
Bagaimanapun, pengendali Argentina berusia 48 tahun itu mahu mengetepikan sentimen peribadi sebaliknya percaya dengan kualiti pasukan untuk melakar sejarah baharu pada final kali ini.
“Saya sangat gembira dengan De la Fuente (selepas bantu Sepanyol ke final). Dia memang layak kerana dia seorang jurulatih yang hebat.
“Segala taktikal yang kita lihat dalam pasukan Sepanyol adalah apa yang kami mahu lihat dalam pasukan Argentina.
“Namun, fokus utama sekarang adalah pencapaian pasukan dan saya sudah katakan sebelum ini bahawa kumpulan pemain ini tidak pernah berhenti berjuang di atas padang.
“Kami akan cuba memenangi final dan memberikan segala-galanya di atas padang kerana apa yang dipamerkan para pemain ini sangat luar biasa. Mereka sangat istimewa dan saya mengatakannya dari hati, bukan kerana angkuh,” katanya.
Sementara itu, kapten Argentina, Lionel Messi berkata semangat juang yang tidak pernah luntur menjadi kunci utama kejayaan La Albiceleste mara ke final buat kali kedua berturut-turut.
Malah, pemain Inter Miami itu turut enggan memikirkan tentang potensi perlawanan final menentang La Roja sebagai medan terakhirnya di pentas antarabangsa.
“Saya telah membuat persiapan dan berlatih sepanjang tahun untuk memastikan berada pada tahap terbaik. Sekarang saya hanya mahu menikmati detik ini. Saya tidak mahu bercakap mengenai sama ada ini Piala Dunia terakhir saya atau tidak.
“Kami bermain mengikut cara kami sendiri dan kini sekali lagi berada di pentas final Piala Dunia,” kata pemain berusia 39 tahun itu.
Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez mengakui kemampuan seluruh pasukan untuk mengekalkan keinginan mereka menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut adalah kerana peminat.
“Penyokong kami sangat ‘gila’, mereka berbeza dengan penyokong negara lain. Melihat mereka meraikan kejayaan pasukan pada pukul 2 pagi dalam cuaca sejuk Argentina, memberikan kami para pemain makna besar,” jelasnya. – AGENSI














