PETALING JAYA – Tindakan murni seorang pemuda yang sanggup menghantar pulang dompet ditemuinya ke rumah pemilik pada pukul 1 pagi, kini dicari selepas pemilik menyesal tidak sempat mengetahui identitinya.
Menerusi satu hantaran di Facebook @RyanCheah, pemilik dompet berkenaan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 1 pagi semalam di Legenda Heights, Sungai Petani, Kedah.
Menurutnya, dia dikejutkan daripada tidur selepas pemuda terbabit menekan loceng rumah sebelum turun membuka pintu.
“Saya terus turun buka pintu dan tanya kuat-kuat, ‘Apasal?’.
“Rupa-rupanya dia jumpa dompet saya di atas jalan dan sanggup datang hantar balik walaupun dah tengah malam. Zaman sekarang bukan senang nak jumpa orang sebaik ini. Memang saya rasa sangat terharu,” katanya dalam hantaran itu.
Tambahnya, disebabkan keadaannya ‘mamai’ akibat dikejutkan daripada tidur, dia hanya sempat mengambil dompet tersebut dan mengucapkan terima kasih sebelum masuk semula ke dalam rumah.
Bagaimanapun, dia mengakui berasa kesal kerana tidak sempat berbual dengan pemuda itu atau mendapatkan sebarang maklumat mengenainya.
“Saya menyesal sebab tak sempat sembang elok-elok, tak tanya nama dia, tak ambil nombor telefon, malah nombor pendaftaran motosikal pun saya terlupa nak tengok.
“Kalau adik yang hantar dompet itu terbaca hantaran ini, tolong hubungi saya. Saya cuma nak ucap terima kasih depan-depan dan hargai jasa adik yang sanggup bersusah payah hantar dompet saya balik,” ujarnya.
Sehubungan itu, dia turut meminta bantuan orang ramai untuk berkongsi hantaran berkenaan bagi membantunya menjejaki pemuda tersebut.
Hantaran itu turut mengundang perhatian pengguna media sosial yang mendoakan agar kedua-duanya dipertemukan semula.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan semua,” komen @Fadzil.
“Tengok muka dengan ikhlas, sedih pula tengoknya. Semoga dapat bertemu dengan dia,” tulis @Shila. -KOSMO! ONLINE














