fbpx

Arus tenang Kilafairy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TERSEDAR daripada tidur dan terasa ingin berhijab. Hanya seringkas itu penjelasan pelakon dan penyanyi, Kilafairy tentang pengembalian fitrahnya sebagai seorang muslimah sebagai tuntutan agama awal Jun lalu.

Tidak pernah merancang atau meletakkan had masa bila mahu bertudung, anak perempuan kepada penyanyi era 1980-an, Rohana Jalil itu melakukannya secara spontan.
Menurut pengurusnya yang turut menemani Kilafairy yang mesra disapa Kila sewaktu sesi fotografi yang berlangsung di Studio Bee Ramza, Shah Alam baru-baru ini, dia sendiri terkejut dengan keputusan majikannya.

Semuanya bagaikan tidak semena-mena memandangkan malam sebelum Kila mengambil keputusan besar tersebut, mereka sempat bertemu, namun tiada sepatah pun isu tudung terselit dalam perbualan.

 

Memiliki perniagaan produk kesihatan, Kila Fit, Kila pernah terfikir untuk berhenti daripada menjadi muka depan produk sendiri kerana bimbang imej bertudung tidak sesuai dengan strategi pemasaran.
– MUHAMAD IQBAL ROSLI

 

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menjadikan kisah bertudung ini satu hal yang sensasi. Saya cuma memakai tudung untuk memenuhi tuntutan agama buat semua wanita Islam. Kenapa orang terlalu menggembar-gemburkan hal ini.

“Saya sendiri tidak pernah membuat apa-apa pengumuman rasmi bahawa saya kini berhijab. Perkara ini bocor pun kerana Neelofa menitipkan doa buat saya menerusi Instagramnya,” Kila tenang meluahkan hematnya.

Kilafairy anggap kisah bertudung tidak perlu digembar-gemburkan.

 

Kekok

Teruja, mungkin kalimat tersebut yang boleh digambarkan tentang perasaan peminat apabila mengetahui pemilik nama Syakila Nisa Jahangir Khan itu sudah bertudung.

Sebagai seorang selebriti, Kila memahami dan cuba berkongsi setakat yang mampu. Namun, ada juga permintaan yang membuatkan dirinya sedikit kekok dan canggung.

“Ketika mula-mula orang tahu saya berhijab, ada banyak pihak mahu menemu bual dan tidak kurang juga mahu merekod video dan bersiaran dengan saya secara langsung.

“Saya terpaksa menolak dengan baik kerana menyifatkan rakaman video sebegitu agak keterlaluan untuk kisah pakai tudung semata-mata,” ujarnya sambil tertawa kecil.

Tiada perubahan drastik yang berlaku dalam kehidupan wanita berusia 28 tahun itu kerana sejak awal tahun lagi, dia sudah mula membuang imej seksi sebagaimana Kilafaity yang dikenali sebelum ini.

 

Kila tidak mahu penghijrahannya disalah anggap sebagai persediaan ke alam rumah tangga.

 

Perasaan mahu menjadi lebih baik menyelinap dalam jiwa tanpa sebarang paksaan termasuk daripada ibu bapanya.

Jujurnya akui Kila, perubahan yang dilalui juga bukan sebahagian daripada perancangannya untuk masuk ke alam rumah tangga. Katanya, mendirikan rumah tangga bukan keutamaan dalam hidupnya buat masa sekarang.

“Saya berasa lebih tenang sejak berhijab, rasa seperti hidup ini sudah lengkap. Saya bersemangat untuk bekerja dan lebih bahagia.

“Bahagia bukan mahu berkahwin ya, tetapi lebih kepada menemukan diri sendiri,” pungkasnya pantas.

Rahsia

Ironi, apabila seseorang selebriti seksi berhijrah menutup aurat, pasti ada kisah tertentu dikaitkan dengan hidayah yang merinai di kalbu.

Ada perkongsian yang diangkat menjadi inspirasi, bahkan juga dilabelkan terlalu klise oleh peminat. Atas sebab sebegitu, Kila mengambil pendekatan untuk merahsiakan cerita di sebalik gerak hati untuk bertudung.

Meletakkan alasan tersebut sebagai rahsia yang sangat peribadi, pelakon filem Karat itu tidak mahu mencetuskan unsur eksploitasi yang boleh merosakkan perjalanan rohaninya menjadi insan lebih baik.

“Biarlah saya simpan cerita itu untuk diri sendiri. Saya tidak mahu hal yang bermula dengan baik disulami isu yang boleh merosakkan makna hijrah itu.

“Cukuplah orang tahu Kilafairy kini bukan seperti dahulu. Doakan saya kuat untuk terus istiqamah. Itu sahaja yang saya perlukan daripada semua pihak,” tuturnya merangkumi perkongsian saat pertemuan tempoh hari.

Imej berhijab tidak mengganggu kerjaya lakonannya kerana Kila sudah biasa diberikan watak bertudung. Tinggal lagi, Kila kini lebih selektif dengan tawaran karakter lakonannya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN