fbpx
JAHABERDEEN (tengah) percaya KLBA memiliki kemampuan untuk mencungkil bakat pemain-pemain remaja, terutamanya bagi sektor wanita.

KLBA mahu jadi ‘kilang’ pemain wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) mahu menjadi penyumbang kepada kebangkitan sukan badminton negara apabila sedia menjadi ‘kilang’ bagi menggilap dan menghasilkan pemain-pemain remaja wanita berkualiti.

Presiden KLBA, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, pihaknya akan mewujudkan program Juara Baharu yang merupakan kesinambungan kepada program Jejak Juara yang sudah dibentuk sejak 2022.

Beliau menjelaskan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) sudah pun memberikan cadangan untuk menjadikan sebuah sekolah wanita sebagai pusat latihan bagi melatih pemain-pemain remaja.

“Disebabkan kita (Jejak Juara) sudah berjaya, kita nak sambung dengan program baharu yang dinamakan Juara Baharu. Kita juga mahu fokus kepada kelompongan yang ada, iaitu kekurangan pemain wanita.

“Memang benar kita memiliki Pearly Tan dan M. Thinaah untuk acara beregu tetapi dalam acara perseorangan, kita masih ketandusan. Oleh itu, kita harap Kuala Lumpur dapat beri sumbangan dari aspek itu.

“Kami juga sudah berbincang dengan Pengarah JPWPKL untuk menjadikan asrama satu sekolah wanita sebagai tempat latihan. Di situ, kita akan melatih pemain-pemain remaja wanita,” katanya ketika ditemui selepas aksi final Kejohanan Badminton Tertutup Kuala Lumpur di Stadium Titiwangsa di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh Liu Ying bagi merealisasikan hasrat melahirkan lebih ramai pemain wanita berkualiti.

“Kami akan bekerjasama dengan Goh Liu Ying bagi melakukan beberapa perkara tertentu, terutamanya dari aspek pemain wanita. Di KLBA, kita bukan sahaja tekankan persaingan dan kekuatan permainan, malah turut melibatkan karakter pemain,” ujar Jahaberdeen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN