SEREMBAN – Parti Muda mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.
Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Biro politik Muda bersama dengan Muda Negeri Sembilan telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam PRN negeri ini bagi memberi tumpuan membina kekuatan Muda bagi menghadapi PRU16.
“Muda mengambil keputusan untuk memberi sokongan yang penuh kepada calon-calon daripada blok progresif daripada PSM dan juga sahabat kami daripada Parti Orang Asli Malaysia (ASLI),” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat PSM Negeri Sembilan di sini hari ini.
Amira Aisya berkata, walaupun Muda tidak memenangi mana-mana kerusi dalam PRN Johor, namun parti itu merekodkan peningkatan peratusan undi berbanding ketika bertanding di enam negeri pada pilihan raya 2023.-KOSMO1 ONLINE














