KEMAMAN – Kemunculan seekor gajah liar yang dipercayai tersesat sejak pagi semalam menggemparkan penduduk dan pengguna jalan raya sekitar Kijal dan Kemasik, di sini.
Kelibat gajah liar itu membimbangkan orang ramai kerana dikesan berkeliaran di dalam kawasan kampung dan tepi jalan raya utama.
Salah seorang penunggang motosikal, Mohd. Afiq Azri Abdul Rahman, 37, berkata, dia terkejut terserempak dengan gajah terbabit sewaktu melalui
Jalan Kuala Terengganu – Kuantan berhampiran Kemasik malam tadi.
“Pada awalnya, saya ingatkan ada sekatan jalan raya kerana kenderaan di hadapan bergerak perlahan, namun sangkaan saya salah. Rupa-rupanya, kenderaan itu bergerak perlahan kerana bimbang dengan kehadiran gajah. Ia agak menghairankan kerana kawasan ini berhampiran pantai,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Gong Chengal, Mohd. Zaid Jambol pula berkata, beliau mendapat maklumat gajah tersebut mula-mula dikesan berkeluaran berhampiran stesen timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kijal di sini pada pukul 8 malam tadi.
“Pagi ini, gajah tersebut semakin jauh merayau memasuki perkampungan kami. Situasi ini membimbangkan kerana sebahagian kami mempunyai kebun kelapa, cempedak dan pisang yang menjadi kegemaran haiwan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














