KUALA LUMPUR – Penyebaran ajaran sesat kini telah berubah daripada pertemuan fizikal secara rahsia kepada penggunaan platform media sosial serta aplikasi mesej tertutup.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, aktiviti penyebaran fahaman sesat bergerak bebas merentasi sempadan sekali gus menyukarkan usaha pengesanan awal oleh agensi penguat kuasa.
Katanya, kumpulan terbabit juga semakin licik apabila berselindung di sebalik program pembangunan kendiri, aktiviti kebajikan, rawatan alternatif dan pengajian agama tidak formal bagi menarik pengikut.
“Malah, sesetengah fahaman ini tidak lagi tampil dalam bentuk ajaran agama yang jelas, sebaliknya berlatarkan dengan elemen motivasi, kerohanian, psikologi, teori konspirasi atau pengaruh tokoh tertentu yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Sabri Azit (PN-Jerai) meminta menteri menyatakan kekangan Kerajaan bagi menangani penularanajaran sesat di Malaysia.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, bagi menangani ancaman itu, Jabatan Kemajuan Islan Malaysia (Jakim) telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Agama Islam Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Melalui kerjasama itu katanya, beberapa kejayaan signifikan telah dicatatkan sepanjang tahun 2025 sehingga pertengahan 2026.
“Melalui tindakan penguatkuasaan secara bersemuka, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan PDRM telah membuat tangkapan terhadap 288 orang Jemaah Ahmadiyyah Qadiani (JAQ) pada 31 Mei lalu di Sabah.
“Terkini pada 27 Jun lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah menyerbu sebuah markas Syiah di Pusat Perdagangan Lagoon Perdana, Petaling Jaya.
“Serbuan itu berjaya menahan 226 warga asing (147 lelaki, 51 wanita, dan 28 kanak-kanak) dari Pakistan, India, dan Bangladesh,”ujarnya.
Pada masa sama, beliau memberitahu, agenda pengukuhan akidah dalam kalangan orang awam bukanlah satu perkara yang
bermusim.
“Oleh yang demikian, Kerajaan menyeru dan mengingatkan orang awam agar berusaha memperkukuh akidah berteraskan melalui kelas pengajian agama yang berautoriti di masjid dan surau di seluruh negara,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














