fbpx
GAMBAR HIASAN

Diabetes jenis 2 kini serang remaja seawal usia 14 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penyakit diabetes jenis 2 yang sebelum ini lebih sinonim dalam kalangan orang dewasa kini dikesan menyerang remaja seawal usia 14 tahun, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Menurut beliau, perkembangan itu amat membimbangkan kerana menunjukkan penyakit tidak berjangkit (NCD) semakin menular dalam kalangan golongan muda susulan peningkatan faktor risiko seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan paras gula dalam darah.

“Kalau saya boleh sebutkan sedikit lagi, kita melihat individu didiagnosis dengan diabetes jenis 2 pada usia semuda 14 tahun. Ini sangat membimbangkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu (GPS-Betong) yang meminta statistik terkini penyakit tidak berjangkit bagi tempoh 2024 hingga 2026, khususnya peningkatan kes diabetes dan hipertensi dalam kalangan belia berusia bawah 30 tahun.

Menurut Dzulkefly, dapatan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) 2025 turut menunjukkan ramai golongan muda tidak menyedari mereka mempunyai faktor risiko penyakit tidak berjangkit.

Katanya, daripada 347,813 individu berusia 18 hingga 30 tahun yang disaring, seramai 341,257 orang atau 98 peratus tidak mempunyai sejarah penyakit tidak berjangkit sebelum ini.

“Bagaimanapun, 11,751 individu atau 34 peratus didapati mempunyai paras glukosa darah yang tinggi, manakala 30,170 individu atau 88 peratus pula mempunyai bacaan tekanan darah yang tinggi.

“Dapatan ini menunjukkan terdapat golongan muda yang sebenarnya mempunyai faktor risiko penyakit tidak berjangkit tanpa mereka sedari,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN