PETALING JAYA – Polis menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah hotel di Sunway Mentari, di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada Isnin lalu sebelum direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, dua suspek yang ditahan sebelum ini turut disambung reman pagi ini bagi melengkapkan siasatan.
“Selain dua suspek yang ditahan sebelum ini, polis telah menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an pada Isnin lalu.
“Suspek direman selama empat hari sehingga 17 Julai (Khamis ini) bagi membantu siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam minggu ini untuk arahan selanjutnya.
Pada 10 Julai lalu, Kosmo! melaporkan, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditemukan maut di sebuah hotel di Sunway Mentari selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 11.23 malam.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan pada badan, manakala bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengesahkan punca kematian adalah akibat ‘multiple blunt impacts to the body’.
Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dan 30-an yang mempunyai beberapa rekod lampau bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE















