SHAH ALAM – Jenis kenderaan tidak menjamin pemiliknya terlepas daripada tindakan penguatkuasaan apabila dua individu termasuk warga emas ditahan kerana memandu Porsche dan BMW 520i tanpa cukai jalan dalam Ops Luxury di daerah ini dan Klang semalam.
Dua pemandu berusia 37 dan 62 tahun itu ditahan dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.
Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, kes pertama membabitkan ahli perniagaan wanita yang memandu supercar Porsche di Persiaran Kerjaya, Glenmarie di sini kira-kira pukul 3.20 petang.
Pemeriksaan mendapati lesen kenderaan motor (LKM) atau cukai jalan kenderaan itu telah tamat tempoh selama 10 bulan sejak 9 September tahun lalu.
“Pemandu wanita yang dalam perjalanan ke Seksyen 13 itu mendakwa dia tidak sempat memperbaharui cukai jalan selain menyangka masih terdapat pengecualian bagi kenderaan elektrik (EV),” katanya hari ini.
Jelasnya, pemandu warga emas pula ditahan berdekatan Taman Maznah, Kampung Jawa, Klang pada pukul 6.40 petang. Semakan mendapati BMW yang dipandunya tiada cukai jalan selama lebih dua tahun sejak 30 Mac 2024.
“Pemandu tersebut memberi alasan bahawa kereta berkenaan baru sahaja keluar daripada bengkel,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















